Friday, July 31, 2009

Tea Tree


Nama Saintifik: Melaleuca alternafolia Cheel
Nama lain: Gelam wangi, Tea tree
Kegunaan:
Minyak pati dari daun dan ranting pokok diperakui mempunyai sifat-sifat anti-septik dan anti-kulat.
Ia banyak digunakan untuk merawat gigitan serangga, luka terbakar, luka dan jangkitan kuman pada kulit. Gelam wangi juga dikatakan mempunyai khasiat dalam penjagaan kosmetik, dimana ia digunakan untuk merawat jerawat, kelumumur, dan tinea.

Stevia



Nama Saintifik: Stevia rebaudiana Bertoni
Nama lain: Stevia, Sweet herb of Paraguay, sweet honey leaf, sweet leaf, sugar leaf, Stevia, Ya-wan, Orngot
Kegunaan: Daun stevia mempunyai rebauioside A (R-A) dan steviosides (St) dimana 180-400 dan 110-270 kali manis berbanding gula biasa. Biasanya, ia digunakan sebagai pemanis, gula alternatif bagi pesakit kencing manis, dan juga mereka yang sedang mengawal berat badan. Stevia juga didapati mempunyai unsur-unsur antibakteria, antivirus dan antikulat.

Serai Makan


Nama Saintifik: Cymbopogon citratus (DC.) Stapf
Nama lain: Sereh, serai, serai dapur, lemongrass, West Indian lemongrass, serai dapur, sereh, bubu
Kegunaan: Serai sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan. 
Minyak pati serai berkhasiat bagi merawat kembung perut, pembuangan air besar yang tidak menentu, gangguan gastric dan digunakan untuk menghentikan muntah. 

Ia digunakan secara urutan bagi merawat reumatisme, terseliuh dan sakit-sakit lain. 

Citral yang terdapat dalam minyak pati serai digunakan sebagai bahan pewangi dalam minyak wangi, garam mandi dan ramuan bahan solekan. Serai juga digunakan sebagai pelawas kencing, penggalak haid, tonik, menggalakkan perpeluhan, untuk merawat sakit buah pinggang dan sebagai bahan membuat teh serai. Minyak pati yang diekstrak daripada serai berkesan sebagai penghalau nyamuk.

Serai Wangi


Nama Saintifik: Cymbopogon nardus (L.) Rendle
Nama lain: Serai wangi, Citronella, Sereh wangi
Kegunaan:
Minyak angin yang di perbuat daripada campuran minyak serai wangi sering digunakan untuk mengurut. Ia bertindak sebagai perangsang, membuang angin, antispasmodic dan menggalakkan pengeluaran peluh. 
Air rebusan akarnya pula digunakan sebagai pelawas kencing, mengeluarkan peluh dan menghalang jangkitan semula penyakit. 

Minyak serai wangi (citronella) bertindak menghalau nyamuk dan banyak digunakan dalam industri minyak wangi dan pembuatan sabun mandi. 

Minyak pati serai wangi diberikan dalam dos yang rendah untuk melegakan sakit perut dan membantu penghadaman. Ia juga digunakan untuk menggalakkan haid. 

Air rebusan daun serai wangi dan gandarusa digunakan untuk mandian ibu selepas bersalin. 

Air rebusan daun serai wangi bersama beberapa jenis herba lain digunakan juga bagi merawat lumpuh.

Selasih



Nama botani : Ocimum basilicum Linn.
Nama Lain : Sweet Basil, French Basil (Inggeris), Barbar,Tulsi (Hindi), Raihan (Arabic), Bai horapa (Thai)
Famili : Lamiaceae (Labiatae)
Khasiat : Tanaman selasih mempunyai berbagai-bagai kegunaan. Di Malaysia tumbuhan ini digunakan dalam masakan dan dikatakan mempunyai khasiat perubatan. Di Amerika pula disebabkan kecantikan dan bau yang menarik beberapa baka terpilih telah jadikan sebagai tanaman landskap dan tanaman hiasan. Di samping itu ia dianggap sebagai salah satu herba kulinari yang terkenal dan juga dijual sebagai bunga segar dan produk kering. Minyak pati yang dihasilkan melalui pengekstrakan daun dan bunga digunakan dalam industri minyak wangi, farmasiutikal, aromaterapi dan makanan dengan manfaatkan bauan dan perisa yang asli.

Roselle


Nama Saintifik: Hibiscus sabdariffa L.
Nama lain: Rosel, asam paya, asam susur, Roselle, sorrel, Rosela, Bissap, Mestal / meshta, Krajeab, Luo shen hua
Kegunaan:
Minuman yang diperbuat daripada kaliks atau kelopak buah rosel kaya dengan vitamin A, C dan mineral ( Kalium dan kalsium). Kaliks yang dikeringkan juga digunakan sebagai teh herba. Minuman dari rosel dipercayai dapat membantu peredaran darah yang baik, mengurangkan tekanan darah tinggi, dan memberikan kesan awet muda.

Pegaga (Centella asiatica (L) Urban)


Nama Saintifik: Centella asiatica (L) Urban
Nama lain: Pegaga, Pennywort, Buabok, Pegagan, Ching Chow Sui, Gotu cola
Kegunaan:
Pegaga selalunya dimakan sebagai ulam oleh orang Melayu, sebagai minuman oleh orang Cina dan sebagai tonik untuk otak oleh orang India. Keseluruhan bahagian tumbuhan ini mempunyai khasiat yang tinggi dan sering digunakan sejak zaman berzaman untuk mengubati pelbagai penyakit. Di antara penggunaannya termasuk sebagai ubat demam, pelawas kencing, sebagai penawar bagi merawat cirit birit, ulser, penyakit traumatik, gangguan saluran kencing dan batu karang, hidung berdarah, selsema, hepatitis, tonsillitis, sakit tekak, darah tinggi dan lain-lain. Ia digunakan sebagai rawatan luaran untuk merawat luka, lebam, bisul, kudis, patukan ular, ruam lampin dan kayap. Herba ini dikatakan mempunyai tindakan langsung bagi menurunkan tekanan darah dan sering dikenali sebagai ubat untuk pemulihan dan awet muda. Daunnya dipercayai dapat mencuci darah dan merawat ketidakhadaman, gementar dan disentri. Daun pegaga kering yang telah dimesin dimakan bersama susu dikatakan berkhasiat meningkatkan kecerdasan otak. Daun pegaga juga digunakan sebagai minuman bertenaga, sebagai perangsang syahwat dan untuk merawat sakit jiwa.

Pandan (Pandanus odorus)


Nama Saintifik: Pandanus odorus
Nama lain: Pandan wangi, pandan rampai, Fragrant screwpine
Kegunaan:
Pandan wangi sudah lama digunakan sebagai pewarna dan juga perisa didalam masakan tradisional dikalangan masyarakat melayu. Pandan wangi juga dikatakan mampu untuk mengubati demam campak disamping berkesan mengubati penyakit gonorea, sifilis, denggi, dan anemia.

PAUTAN TEKNOLOGI PENGELUARAN PANDAN

Nilam


Nama Saintifik: Pogostemon cablin (Blanco) Benth
Nama lain: Nilam, Patchouli
Kegunaan: Secara tradisi nilam ditanam untuk diekstrak minyak patinya. Daun nilam digunakan untuk mandian serung atau mandian tersat bagi wanita selepas bersalin. Daun nilam juga digunakan sebagai campuran herba untuk mandian bagi pesakit lumpuh. Daun nilam juga pernah digunakan bagi mengelak pakaian dalam simpanan daripada dirosakkan serangga. 

Ekstrak nilam digunakan sebagai pencuci mulut untuk penyakit gusi dan mulut berbau. Apabila dimakan, ia bertindak sebagai perangsang aktiviti perut yang dapat mengatasi masalah kurang selera makan, gangguan penghadaman dan mual, gonorrhoea, bronchitis yang akut dan kembung perut. Air rebusan akarnya berupaya mengurangkan edema (bengkak berair) dan herba ini juga boleh menghasilkan losyen yang digunakan untuk reumatik. Daun pula digunakan untuk batuk, asma, penyakit bisul, pening kepala, jaundis dan demam yang memuntahkan cairan hempedu. Losyen yang diperbuat daripada daunnya juga digunakan untuk merawat reumatisme.

Limau Purut


Nama Saintifik: Citrus hystrix DC
Nama lain: Limau purut, Kaffir lime, keiffer lime, Jeruk purut, jeruk limo, jeruk obat, Swangi, Makrut, bai makrut, Fatt-fung-kam, Makgeehoot, Krauch soeuch
Kegunaan:
Daun limau purut banyak digunakan sebagai perasa terutama dalam masakan Thailand seperti tomyam. Daun yang telah dikeringkan juga digunakan dalam pelbagai ramuan perubatan tradisional dan mempunyai aktiviti antihistamina, antipasmodik, dan hipotensi. Daun segar juga berpotensi sebagai sumber yang berkesan sebagai penggalak antitumor atau pencegah kanser. Buah limau purut juga digunakan sebagai pencuci rambut dengan mencampurkannya bersama beluru atau sintok. Air yang diperah dariada buahnya pula digunakan untuk membunuh pacat selain digunakan untuk mencuci mulut dan dikatakan dapat menguatkan gusi. Air perahan juga dikatakan dapat membantu mengatasi zakar yang lemah apabila mencampurkan dengan lada hitam yang ditumbuk dan diminum. Kulit limau purut pula sering dikeringkan dan digunakan sebagai jamu. Minyak pati yang diekstrak dari kulit limau purut dan daun didapati mempunyai aroma yang khusus dan banyak digunakan dalam aromaterapi, nutraseutikal dan produk penjagaan diri. Minyak pati limau purut mempunyai sifat-sifat antiseptik, astrigen dan antibakteria dimana ia kebnayakkannya digunakan untuk merawat luka, lebam, dan sengatan serangga berbisa.

Mengkudu


Nama Saintifik: Morinda citrifolia Linn.
Nama lain: Mengkudu besar, mengkudu jantan, Indian mulberry, noni, Indian mulberry, painkiller, morinda, Pace (Javanese), cangkudu (Sundanese), mengkudu (Malay)
Kegunaan:
Pokok mengkudu dan bahagian-bahagiannya digunakan kerana sifatnya yang boleh membunuh cacing, membunuh kuman, menghalang muntah, menghalang loya, melegakan demam, melegakan batuk, menurunkan darah tinggi, mengecutkan, membersihkan perut, melegakan dan lain-lain. Di antara masalah yang dikatakan dapat dirawat menggunakan mengkudu termasuk sklerosis pada jantung, asma, kencing manis, cirit birit, lumbago, reumatisme dan hepatitis. Pelbagai jenis penyakit kulit seperti bisul, gatal, kudis, kudis buta, badang, ulser dan luka dirawat secara pemakaian persediaan ubat secara luaran. Rebusan akarnya diminum untuk melancarkan haid dan mengubati kemandulan. Jus buahnya diminum untuk merawat kesakitan semasa membuang air kecil.
Buah segar dimakan atau dibuat jus untuk diminum bagi merawat kencing manis, spleen yang bengkak, penyakit berkaitan hati, beri-beri, pendarahan dan batuk. Air rebusan kulitnya digunakan sebagai bahan mengecut dan bagi merawat demam malaria. Pes yang diperbuat daripada daun mengkudu disapu pada dada bagi merawat batuk, loya, spleen yang bengkak, sakit perut dan demam. Daunnya yang dicelur juga dimakan sebagai ulam. Daunnya juga digunakan untuk mandian bagi wanita selepas bersalin. Isi buahnya yang ranum digunakan untuk mencuci rambut.



Kunyit

Nama botani: Curcuma domestica(Val.)/ Syn: Curcuma longa
Nama lain: Kha min (Thailand), Manjal (India), Haldi (Hindi), Kurkum (Arab) Turmeric (tumeric), Indian saffron, yellow ginger (Inggeris)
Famili: Zingiberaceae
Khasiat perubatan : Dalam konteks perubatan, antara peranannya ialah sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser. Secara tradisi, ia digunakan secara luaran atau diminum. Secara luaran, kunyit ditumbuk halus dan disapukan pada luka-luka, seliuh anggota dan kudis. Manakala sebagai minuman ia diminum sebagai tonik kesihatan. Perahan air kunyit dikatakan dapat menyembuhkan luka di dalam badan, mengecutkan peranakan bagi wanita baru bersalin, membersihkan darah dan melancarkan peredaran darah. Ia juga berfungsi untuk mengurangkan radang di dalam badan. Ia boleh menghilangkan selsema sama ada disapu di bahagian dahi dan hidung atau diminum air perahannya. Di samping itu, ia dapat membantu proses pencernaan di dalam usus dan merangsang pengeluaran sel darah merah serta menghalang dari pembekuan darah. Terdapat pengesyoran pengambilan sebanyak 400 mg bahagian kurkumin untuk penjagaan kesihatan. Untuk menjaga kecantikan, kunyit boleh ditumbuk halus dan disapu di muka untuk melembut dan melicinkan muka

Thursday, July 30, 2009

Cekur

Nama botani: Kaemferia galanga L.
Nama lain: Kencur (Indonesia), Pro hom (Thai) Lesser galanga, fingerroot (Inggeris)
Famili: Zingiberaceae
Khasiat perubatan: Tanaman cekur sangat popular di kalangan penduduk di Asia Tenggara terutama di Indonesia dan Malaysia. Rizomnya digunakan sebagai tonik selepas bersalin bagi mengecutkan rahim, bahan untuk jamu bagi senak perut, membuang angin, sakit sendi serta melancarkan haid. Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat. Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu dan rizomnya pula digunakan sebagai ramuan masakan.

Senna Mekah

Nama botani : Cassia angustifolia Vahl
Nama lain: Mecca senna, Tinnevelly senna (Inggeris), Nilavarai, Nelavakai (India), Makham khaek (Thai), Fan xia ye (China)
Famili: Leguminosae
Khasiat perubatan : Bahagian tanaman yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah daun dan kulit lengainya. Kedua-dua bahagian ini digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, sembelit , cacing, anemia, taipod, taun, bronkitis, batuk, gout, reumatisme dan penyakit kuning (jaundice). Daun dan kulit lengainya mengandungi bahan anthraquinone glukosid (sennosid) , carthartic acid, myricyl alcohol,calcium salt ,isohamnentin, rhein anthrone Aloe-emodin glycosid , kampferol dan isormamnetin. Daun senna mengandungi 2.92-3.92 % sennosid dan kulit lengainya mengandungi 3.5-4.0% sennosid.

Halia

Nama botani: Zingiber officinale Ross
Nama lain: Ginger (Inggeris), Jahe, Aliah, Jae, Lia (Indonesia) Kinkh, Khing-daen (Thailand)
Famili: Zingiberaceae
Khasiat perubatan : Bahagian tanaman yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah daun dan kulit lengainya. Kedua-dua bahagian ini digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, sembelit , cacing, anemia, taipod, taun, bronkitis, batuk, gout, reumatisme dan penyakit kuning (jaundice).
Daun dan kulit lengainya mengandungi bahan anthraquinone glukosid (sennosid) , carthartic acid, myricyl alcohol,calcium salt ,isohamnentin, rhein anthrone Aloe-emodin glycosid , kampferol dan isormamnetin. Daun senna mengandungi 2.92-3.92 % sennosid dan kulit lengainya mengandungi 3.5-4.0% sennosid.

Misai Kucing

Nama botani: Orthosiphon stamineus Benth (O. aristatus Blume)
Nama lain: Remujung, Kumis kucing (Indonesia), Java tea (Inggeris)
Famili: Lamiacea
Khasiat perubatan : Di Malaysia, tanaman ini telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan dengan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang. Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat, dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu, ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu ginjal. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita. Tanaman ini juga boleh digunakan sebagai bahan antialergi.

Dukung anak


Nama saintifik : Phyllanthus amarus
Nama lain : English: Stone breaker, shatter stone Malaysia: Dukung anak, buah amin, nipon-nipon Indonesia: Meniran South America: Quebra pedra China: Zhen chu cao, Ye xia zhu
Keluarga : Euphorbiaceae.
Khasiat perubatan : Secara tradisi tumbuhan ini banyak digunakan dalam sistem perubatan Ayurvedic, Yunani, perubatan Cina dan Amerika Selatan untuk rawatan penyakit berkaitan dengan buah pinggang seperti batu karang, malaria, asma, pelawas kencing, penambah selera makan dan penyakit yang berkaitan dengan hati. Di Malaysia, tumbuhan ini banyak digunakan untuk rawatan kencing manis, darah tinggi, gigitan serangga berbisa, cirit-birit, gatal-gatal dan jaundis. Sejak akhir-akhir ini, kajian saintifik terhadap tumbuhan ini mula diberi perhatian khusus oleh para penyelidik memandangkan ia mempunyai sifat antivirus terutama virus hepatitis B.

Wednesday, July 29, 2009

Mas cotek


Nama Saintifik : Ficus deltoidea
Nama lain : Serapat, sempit-sempit, agoluran (Sabah), tabat barito (Indonesia), mistletoe fig (English)

Keluarga : Moraceae

Khasiat perubatan : Mas cotek lebih khusus untuk kaum wanita kerana ia biasa diamalkan oleh wanita selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim kepada keadaan asal dengan lebih cepat dan melawaskan peredaran haid. Sesetengah wanita mengamalkan minum teh emas cotek sebagai tonik kesihatan untuk mengekalkan keayuan dan awet muda. Di Indonesia, air rebusan emas cotek kebanyakannya digunakan sebagai tonik afrodisiak untuk wanita. Menurut beberapa pengamal perubatan tradisional, emas cotek juga berupaya mencegah dan menyembuhkan beberapa jenis penyakit lain jika diamalkan dengan betul. Antara penyakit-penyakit tersebut ialah paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan cirit birit. Tumbuhan ini juga digunakan untuk melancarkan peredaran darah dan seterusnya sebagai rawatan sakit kulit.

Monday, July 27, 2009

Tumbuhan Ubatan Popular Malaysia


SINOPSIS
Lebih 1,000 spesies tumbuhan ubatan digunakan oleh orang Melayu untuk rawatan pelbagai jenis penyakit. Walau bagaimanapun, timbul banyak masalah dari segi pengecaman tumbuhan berkenaan memandangkan tiada bahan rujukan yang khusus memberi penerangan yang lengkap tentang sifat morfologi dan pertumbuhan tumbuhan tersebut.

Sehubungan dengan itu buku ini telah diusahakan dengan memberi maklumat yang lebih terperinci tentang sifat morfologi tumbuhan berkenaan. Bagi memudahkan pengecaman beberapa nama biasa, nama saintifik dan gambar berwarna lengkap diberi. Tumpuan pemilihan gambar diberi kepada bahagian yang boleh digunakan untuk pengecaman seperti sifat bunga, buah dan daun selain daripada sifat pertumbuhan tumbuhan itu sendiri. Walau bagaimanapun, buku ini hanya tertumpu pada tumbuhan yang mudah diperoleh dan biasa digunakan oleh pengamal perubatan tradisional sahaja. Selain daripada tujuan untuk memudahkan pengecaman, maklumat asas berkenaan habitat semula jadi, keperluan pertumbuhan, cara pembiakan bahan tanaman juga disediakan.

Sebanyak 172 spesies tumbuhan dimuatkan dalam buku ini. Ia dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu tumbuhan herba (73 spesies), tumbuhan renek (32 spesies), tumbuhan menjalar (19 spesies), pokok besar (44 spesies) dan tumbuhan parasit/epifit (4 spesies).

Buku ini dapat dijadikan bahan rujukan serta panduan bagi mereka yang berminat untuk menanam tumbuhan ini secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri atau sebagai tanaman hiasan di kawasan rumah atau taman-taman. Para penyelidik pula boleh menggunakan buku ini sebagai sumber maklumat dalam pemilihan tumbuhan yang bersesuaian untuk kajian lanjut sama ada dalam aspek keberkesanannya untuk rawatan penyakit berkenaan atau teknologi pengeluaran.

Penanaman Tumbuhan Ubatan & Beraroma


SINOPSIS
Ahli botani tempatan telah mengenal pasti lebih 1000 spesis tumbuhan ubatan yang telah digunakan oleh masyarakat Malaysia untuk rawatan pelbagai penyakit sejak turun temurun lagi. Senarai tumbuhan ini telah diperincikan dari segi kegunaan oleh Kamarudin Mat Salleh dan A. Latiff dalam bukunya “Tumbuhan Ubatan Malaysia”. Sebahagian daripada tanaman ini telah mula diberi perhatian oleh penyelidik tempatan terutama sekali dalam bidang yang berkaitan dengan kandungan bahan aktif dan nilai perubatannya. Ada antara tumbuhan ini mempunyai nilai komersial yang tinggi dan telah pun mula dimajukan sebagai tanaman industri.

Menyedari hakikat ini, usaha untuk mengusahakan tumbuhan ini secara komersial telah mula diberi perhatian memandangkan dalam pengeluaran bahan produk perubatan yang berkualiti, industri tidak boleh bergantung semata-mata kepada bahan asli yang diperoleh daripada hutan atau diimport dari luar negara. Pergantungan kepada bahan import dan sumber asli daripada hutan tidak dapat menjamin bekalan yang berterusan. Bahan mentah import pula tidak dapat memastikan ia dapat mengikuti spesifikasi kualiti yang ditetapkan. Oleh itu, pengeluaran ladang bagi tumbuhan ini semestinya dijalankan. Justeru itu, teknologi penanaman yang bersesuaian bagi pengeluaran bahan mentah bagi spesis tumbuhan terpilih ini telah diwujudkan. Buku ini mengandungi maklumat penanaman bagi 20 spesis tumbuhan utama yang mana meliputi 16 tumbuhan ubatan dan 4 tumbuhan beraroma hasil daripada hasil daripada program penyelidikan yang telah dijalankan.

Secara khusus buku ini memaparkan teknologi yang meliputi kefahaman terhadap keperluan asas tumbuhan, kaedah pengeluaran anak benih, pemilihan varieti atau aksesi, aspek pengurusan tanaman di peringkat ladang yang mana termasuk pembajaan, pengurusan air, pengurusan perosak dan penyakit serta pengendalian lepas tuai. Kami mengakui pengesyoran yang dibuat bagi setengah tanaman ini adalah merupakan pengesyoran sementara memandangkan kajian-kajian lanjutan terhadap tanaman ini sedang dijalankan. Walau bagaimanapun maklumat asas ini penting memandangkan aspek-aspek tentang teknologi penanaman bagi tumbuhan ini pada masa ini sukar diperoleh. Buku ini boleh juga dijadikan sebagai panduan asas bagi pengusaha yang ingin menanam tanaman ini secara komersial. Bagi pengeluaran komersial, maklumat yang lebih terperinci dan terkini yang diterbitkan oleh agensi penyelidikan dari masa ke semasa perlu diperoleh. Buku ini boleh juga dijadikan panduan bagi penuntut sekolah dan institut pengajian tinggi yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut dalam penanaman tumbuhan ubatan dan beraroma.

Sunday, July 26, 2009

Tumbuhan Ubatan Untuk Kesejahteraan Wanita

SINOPSIS

Tumbuhan Ubatan Untuk Penjagaan kulit


SINOPSIS

Sudah menjadi lumrah manusia, semua orang inginkan sesuatu yang cantik. Sehubungan dengan itu seseorang itu sanggup menghabiskan banyak tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan mereka sentiasa nampak cantik. Kecantikan kulit ialah hanya sifat fizikal luar sahaja. Walau bagaimanapun tahap kesihatan kulit seseorang secara langsung menggambarkan tahap kesihatan seseorang. Kulit yang bersih, lembut dan gebu menggambarkan seseorang itu mempunyai tubuh badan yang sihat serta ceria dan juga stabil dari segi psikologi.
Dalam perubatan tradisional Melayu, pelbagai tumbuhan ubatan telah digunakan sama ada untuk penjagaan kulit seperti pelembut kulit ataupun merawat kulit yang bermasalah seperti panau, kurap, jerawat dan lain-lain. Selain daripada itu, tumbuhan juga digunakan untuk rawatan yang berkaitan dengan keracunan, alergi serta penawar bagi gigitan serangga dan binatang berbisa. Pelbagai kaedah digunakan sama ada sebagai rawatan topikal disapu di bahagian jangkitan atau dijadikan bahan untuk pupukan dan demahan. Air rebusan atau rendaman tumbuhan ubatan ini juga diminum.

Buku ini telah mengetengahkan cara penggunaan tumbuhan tersebut dalam perubatan tradisional Melayu untuk penjagaan kulit. Maklumat yang diperoleh dan dipaparkan dalam buku ini ialah hasil daripada temu bual dan perbincangan penulis dengan beberapa pengamal perubatan tradisional. Laporan ilmiah etnobotani yang diperoleh hasil kajian yang dijalankan terhadap tumbuhan tempatan juga dijadikan sumber rujukan dalam penulisan ini.
Dalam buku ini, tumpuan khusus diberi kepada tumbuhan dalam penjagaan kulit yang biasa digunakan di kalangan masyarakat Melayu. Maklumat berkenaan sifat morfologi serta pertumbuhan, habitat semula jadi dan kaedah pembiakan bagi tumbuhan tersebut disertakan. Gambar-gambar warna yang meliputi samada keseluruhan tanaman atau bahagian tertentu yang boleh membantu dalam pengecaman tumbuhan juga dipaparkan.

Adalah menjadi harapan buku ini boleh dijadikan panduan kepada pengamal serta pencinta ilmu perubatan tumbuhan ubatan dalam membuat pengecaman tumbuhan berkenaan. Bagi penyelidik, buku ini mungkin boleh dijadikan panduan dalam pemilihan tumbuhan ubatan untuk kajian yang lebih lanjut yang meliputi penentuan bahan kimia bioaktif, nilai perubatan, teknologi penanaman agar sebahagian daripada tanaman ini dapat dikomersialkan sebagai satu industri satu masa nanti.

Saturday, July 25, 2009

Manual Teknologi Penanaman Dukung Anak


SINOPSIS
Bagi peminat seni taman atau petani, dukung anak merupakan sejenis rumpai yang boleh dikatakan bermasalah kerana tumbuhan ini agak susah hendak dikawal. Bijinya yang terhasil dengan banyak dan mudah tersebar menyebabkan tumbuhan ini banyak terdapat di ladang tanaman atau di kawasan seni taman sama ada di atas tanah ataupun di dalam pasu. Walau bagaimanapun bagi pengamal perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan mempunyai khasiat yang menakjubkan. Berdasarkan khasiat yang menakjubkan ini, dukung anak telah dianggap sebagai salah satu tanaman terpenting dalam abad ke 21.

Pengkomersialan tanaman dukung anak telah bermula sejak beberapa tahun lalu. Akhir-akhir ini usaha untuk menghasilkan bahan farmaseutikal berasaskan tanaman dukung anak telah dipergiatkan dengan adanya kilang yang dibina khusus untuk tujuan tersebut. Kajian yang dijalankan telah berjaya menghasilkan ekstrak piawai yang diberi nama EPN 797. Ekstrak ini ialah campuran kompleks yang mengandungi flavonoid dan corilagin. Ekstrak piawai ini mempunyai sifat-sifat spesifik atau capjari kimia dari segi kandungan bahan kimia dan aktiviti biologi. Ekstrak piawai digunakan untuk tujuan pemantauan bagi memastikan produk yang dihasilkan mencapai tahap dan kualiti yang ditetapkan. Produk yang dihasilkan oleh kilang ini disyorkan untuk penyakit yang berkaitan dengan hati seperti rawatan hepatitis B serta penyakit kuning (jaundis)

Sehubungan dengan itu tumbuhan ini telah mula diberi perhatian oleh pengusaha tempatan dan mula ditanam secara komersial. Kajian dalam aspek pengeluaran tanaman khususnya teknik pengeluaran anak benih, pengeluaran di ladang dan pengendalian lepas tuai telah dijalankan. Manual ini disediakan hasil daripada penyelidikan tersebut bagi memastikan bahan mentah yang dihasilkan memenuhi kuantiti dan tahap kualiti yang diperlukan oleh kilang tempatan. Manual ini boleh dijadikan panduan bagi pengusaha yang ingin menanam dukung anak secara komersial Maklumat dalam manual ini juga diharap boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Friday, July 24, 2009

Manual Teknologi Penanaman Hempedu Bumi

SINOPSIS

Industri tanaman ubatan adalah industri yang amat berpotensi di negara ini memandangkan perkembangannya amat pesat sekali sejak akhir-akhir ini.  Sejajar dengan itu,  mberi tumpuan khusus terhadap penyelidikan dan pembangunan tanaman ini sejak beberapa tahun lalu.  Teknologi pengeluaran ini amat penting bagi memastikan negara tidak banyak bergantung pada bahan import dalam pengeluaran produk farmaseutikal yang dihasilkan oleh kilang tempatan.  Teknologi yang dihasilkan juga dapat memastikan bahan mentah yang dihasilkan dapat memenuhi piawai kualiti bahan mentah yang ditetapkan oleh pengilang tempatan.
Manual ini merupakan pengumpulan maklumat hasil kajian yang telah dijalankan.   Maklumat dalam manual ini meliputi semua aspek pengeluaran iaitu daripada penyediaan kawasan tanaman, pengeluaran anak benih, pengurusan tanaman di ladang dan juga beberapa aspek pengendalian lepas tuai.  Anggaran kos pengeluaran juga dipaparkan bagi membantu pengusaha menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk pengeluaran tanaman ini secara komersial.
Oleh itu manual ini boleh dijadikan panduan dan bimbingan kepada  pengusaha-pengusaha  yang ingin mengusahakan tanaman  hempedu bumi sama ada secara kecil-kecilan ataupun secara komersial.

Manual Teknologi Penanaman Rosel


SINOPSIS
Di Malaysia rosel secara tradisi dikenali sebagai asam susur atau asam kundang. Rosel dipercayai berasal dari benua Asia termasuk Malaysia di mana tanaman ini banyak ditanam atau tumbuh secara liar. Tanaman ini dibawa ke Afrika dan beberapa negara lain. Pada masa ini rosel banyak terdapat di kawasan tropika dan subtropika di beberapa negara lain seperti di West Indies dan Amerika Tengah. Tanaman ini mempunyai pelbagai kegunaan. Kaliks atau kelopak buah yang berwarna merah merupakan hasil utama. Kaliks boleh diproses menjadi beberapa jenis produk seperti jus, jem, jeli, jeruk, perisa dan pewarna makanan. Ia mempunyai kandungan vitamin A dan vitamin C serta kandungan mineral seperti K, Ca, P dan Fe yang tinggi. Jus minimum yang dihasilkan daripada rosel telah dikelaskan sebagai makanan kesihatan.

Di Malaysia, penanaman rosel secara komersial mula diperkenalkan kepada petani di Terengganu pada tahun 1993 oleh Jabatan Pertanian melalui projek perintis, iaitu satu percubaan membangunkan tanaman ini sebagai tanaman industri yang baru. Prestasi tanaman ini di kawasan tanah bris amat baik dan didapati berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu tanaman alternatif pada tembakau. Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk mendapatkan tanaman pilihan untuk petani tembakau yang akan terpinggir dengan wujudnya perjanjian AFTA secara berperingkat, bermula pada tahun 2005.

Dalam Dasar Pertanian Nasional yang Ketiga atau NAP 3 (1998-2010), rosel diklasifikasikan sebagai tanaman berpotensi sejajar dengan permintaan bagi makanan berkhasiat yang sentiasa meningkat. Bagi memastikan pembangunan tanaman ini berterusan, sebuah majlis penyelaras ditubuhkan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diberi nama ”Majlis Penyelaras & Pembangunan Industri Rosel Negara” (MPPIR). Majlis ini bertanggung jawab untuk menyelaraskan pengeluaran rosel di Malaysia berdasarkan permintaan semasa rosel oleh pengilang. Majlis ini juga melaksanakan penjenamaan semula rosel keluaran tempatan sebagai ”Malaysia’s Best Rosel”.

Walaupun secara kecil-kecilan, kaliks sejuk beku daripada rosel yang dihasilkan di Malaysia telah mula mendapat pasaran luar negara. Usaha-usaha ini telah dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), dan antara negara yang banyak mengimport hasil rosel Malaysia ialah Australia. Peluang memasarkan rosel di negara lain sedang diusahakan oleh FAMA. Selain produk segar, produk lain seperti puri juga dieksport ke Singapura. Produk siap seperti kordial juga mula menembusi pasaran luar negara terutama sekali negara-negara timur tengah. Bagi memenuhi keperluan eksport dan juga permintaan tempatan ini, bahan mentah rosel yang berkualiti hendaklah dihasilkan secara berterusan.

Susulan daripada perkembangan terbaharu terhadap rosel, satu siri kajian telah dijalankan untuk menilai teknologi pengeluaran yang bersesuaian bagi pengeluaran rosel di kawasan tanah bris. Teknologi tersebut termasuk aspek pengeluaran anak benih, amalan kultur, pembajaan dan pengurusan perosak serta penyakit. Manual penanaman ini adalah inti pati hasil penyelidikan tersebut. Dengan adanya manual ini, adalah diharapkan petani lebih berminat menanam tanaman rosel dalam usaha untuk memenuhi keperluan jus minimum yang tinggi dan sentiasa meningkat.