SINOPSIS
Ahli botani tempatan telah mengenal pasti lebih 1000 spesis tumbuhan ubatan yang telah digunakan oleh masyarakat Malaysia untuk rawatan pelbagai penyakit sejak turun temurun lagi. Senarai tumbuhan ini telah diperincikan dari segi kegunaan oleh Kamarudin Mat Salleh dan A. Latiff dalam bukunya “Tumbuhan Ubatan Malaysia”. Sebahagian daripada tanaman ini telah mula diberi perhatian oleh penyelidik tempatan terutama sekali dalam bidang yang berkaitan dengan kandungan bahan aktif dan nilai perubatannya. Ada antara tumbuhan ini mempunyai nilai komersial yang tinggi dan telah pun mula dimajukan sebagai tanaman industri.
Menyedari hakikat ini, usaha untuk mengusahakan tumbuhan ini secara komersial telah mula diberi perhatian memandangkan dalam pengeluaran bahan produk perubatan yang berkualiti, industri tidak boleh bergantung semata-mata kepada bahan asli yang diperoleh daripada hutan atau diimport dari luar negara. Pergantungan kepada bahan import dan sumber asli daripada hutan tidak dapat menjamin bekalan yang berterusan. Bahan mentah import pula tidak dapat memastikan ia dapat mengikuti spesifikasi kualiti yang ditetapkan. Oleh itu, pengeluaran ladang bagi tumbuhan ini semestinya dijalankan. Justeru itu, teknologi penanaman yang bersesuaian bagi pengeluaran bahan mentah bagi spesis tumbuhan terpilih ini telah diwujudkan. Buku ini mengandungi maklumat penanaman bagi 20 spesis tumbuhan utama yang mana meliputi 16 tumbuhan ubatan dan 4 tumbuhan beraroma hasil daripada hasil daripada program penyelidikan yang telah dijalankan.
Secara khusus buku ini memaparkan teknologi yang meliputi kefahaman terhadap keperluan asas tumbuhan, kaedah pengeluaran anak benih, pemilihan varieti atau aksesi, aspek pengurusan tanaman di peringkat ladang yang mana termasuk pembajaan, pengurusan air, pengurusan perosak dan penyakit serta pengendalian lepas tuai. Kami mengakui pengesyoran yang dibuat bagi setengah tanaman ini adalah merupakan pengesyoran sementara memandangkan kajian-kajian lanjutan terhadap tanaman ini sedang dijalankan. Walau bagaimanapun maklumat asas ini penting memandangkan aspek-aspek tentang teknologi penanaman bagi tumbuhan ini pada masa ini sukar diperoleh. Buku ini boleh juga dijadikan sebagai panduan asas bagi pengusaha yang ingin menanam tanaman ini secara komersial. Bagi pengeluaran komersial, maklumat yang lebih terperinci dan terkini yang diterbitkan oleh agensi penyelidikan dari masa ke semasa perlu diperoleh. Buku ini boleh juga dijadikan panduan bagi penuntut sekolah dan institut pengajian tinggi yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut dalam penanaman tumbuhan ubatan dan beraroma.
3 comments:
Buku ini boleh dibeli di Kedai Buku MARDI, Ibu Pejabat MARDI Serdang
Selain mardi serdang di mana lagi saya boleh dapatkannya ye?
Pejabat MARDI negeri Kelantan ada. Negeri lain tak pasti
Post a Comment