Friday, July 24, 2009

Manual Teknologi Penanaman Rosel


SINOPSIS
Di Malaysia rosel secara tradisi dikenali sebagai asam susur atau asam kundang. Rosel dipercayai berasal dari benua Asia termasuk Malaysia di mana tanaman ini banyak ditanam atau tumbuh secara liar. Tanaman ini dibawa ke Afrika dan beberapa negara lain. Pada masa ini rosel banyak terdapat di kawasan tropika dan subtropika di beberapa negara lain seperti di West Indies dan Amerika Tengah. Tanaman ini mempunyai pelbagai kegunaan. Kaliks atau kelopak buah yang berwarna merah merupakan hasil utama. Kaliks boleh diproses menjadi beberapa jenis produk seperti jus, jem, jeli, jeruk, perisa dan pewarna makanan. Ia mempunyai kandungan vitamin A dan vitamin C serta kandungan mineral seperti K, Ca, P dan Fe yang tinggi. Jus minimum yang dihasilkan daripada rosel telah dikelaskan sebagai makanan kesihatan.

Di Malaysia, penanaman rosel secara komersial mula diperkenalkan kepada petani di Terengganu pada tahun 1993 oleh Jabatan Pertanian melalui projek perintis, iaitu satu percubaan membangunkan tanaman ini sebagai tanaman industri yang baru. Prestasi tanaman ini di kawasan tanah bris amat baik dan didapati berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu tanaman alternatif pada tembakau. Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk mendapatkan tanaman pilihan untuk petani tembakau yang akan terpinggir dengan wujudnya perjanjian AFTA secara berperingkat, bermula pada tahun 2005.

Dalam Dasar Pertanian Nasional yang Ketiga atau NAP 3 (1998-2010), rosel diklasifikasikan sebagai tanaman berpotensi sejajar dengan permintaan bagi makanan berkhasiat yang sentiasa meningkat. Bagi memastikan pembangunan tanaman ini berterusan, sebuah majlis penyelaras ditubuhkan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diberi nama ”Majlis Penyelaras & Pembangunan Industri Rosel Negara” (MPPIR). Majlis ini bertanggung jawab untuk menyelaraskan pengeluaran rosel di Malaysia berdasarkan permintaan semasa rosel oleh pengilang. Majlis ini juga melaksanakan penjenamaan semula rosel keluaran tempatan sebagai ”Malaysia’s Best Rosel”.

Walaupun secara kecil-kecilan, kaliks sejuk beku daripada rosel yang dihasilkan di Malaysia telah mula mendapat pasaran luar negara. Usaha-usaha ini telah dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), dan antara negara yang banyak mengimport hasil rosel Malaysia ialah Australia. Peluang memasarkan rosel di negara lain sedang diusahakan oleh FAMA. Selain produk segar, produk lain seperti puri juga dieksport ke Singapura. Produk siap seperti kordial juga mula menembusi pasaran luar negara terutama sekali negara-negara timur tengah. Bagi memenuhi keperluan eksport dan juga permintaan tempatan ini, bahan mentah rosel yang berkualiti hendaklah dihasilkan secara berterusan.

Susulan daripada perkembangan terbaharu terhadap rosel, satu siri kajian telah dijalankan untuk menilai teknologi pengeluaran yang bersesuaian bagi pengeluaran rosel di kawasan tanah bris. Teknologi tersebut termasuk aspek pengeluaran anak benih, amalan kultur, pembajaan dan pengurusan perosak serta penyakit. Manual penanaman ini adalah inti pati hasil penyelidikan tersebut. Dengan adanya manual ini, adalah diharapkan petani lebih berminat menanam tanaman rosel dalam usaha untuk memenuhi keperluan jus minimum yang tinggi dan sentiasa meningkat.

No comments: