Sunday, July 26, 2009

Tumbuhan Ubatan Untuk Penjagaan kulit


SINOPSIS

Sudah menjadi lumrah manusia, semua orang inginkan sesuatu yang cantik. Sehubungan dengan itu seseorang itu sanggup menghabiskan banyak tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan mereka sentiasa nampak cantik. Kecantikan kulit ialah hanya sifat fizikal luar sahaja. Walau bagaimanapun tahap kesihatan kulit seseorang secara langsung menggambarkan tahap kesihatan seseorang. Kulit yang bersih, lembut dan gebu menggambarkan seseorang itu mempunyai tubuh badan yang sihat serta ceria dan juga stabil dari segi psikologi.
Dalam perubatan tradisional Melayu, pelbagai tumbuhan ubatan telah digunakan sama ada untuk penjagaan kulit seperti pelembut kulit ataupun merawat kulit yang bermasalah seperti panau, kurap, jerawat dan lain-lain. Selain daripada itu, tumbuhan juga digunakan untuk rawatan yang berkaitan dengan keracunan, alergi serta penawar bagi gigitan serangga dan binatang berbisa. Pelbagai kaedah digunakan sama ada sebagai rawatan topikal disapu di bahagian jangkitan atau dijadikan bahan untuk pupukan dan demahan. Air rebusan atau rendaman tumbuhan ubatan ini juga diminum.

Buku ini telah mengetengahkan cara penggunaan tumbuhan tersebut dalam perubatan tradisional Melayu untuk penjagaan kulit. Maklumat yang diperoleh dan dipaparkan dalam buku ini ialah hasil daripada temu bual dan perbincangan penulis dengan beberapa pengamal perubatan tradisional. Laporan ilmiah etnobotani yang diperoleh hasil kajian yang dijalankan terhadap tumbuhan tempatan juga dijadikan sumber rujukan dalam penulisan ini.
Dalam buku ini, tumpuan khusus diberi kepada tumbuhan dalam penjagaan kulit yang biasa digunakan di kalangan masyarakat Melayu. Maklumat berkenaan sifat morfologi serta pertumbuhan, habitat semula jadi dan kaedah pembiakan bagi tumbuhan tersebut disertakan. Gambar-gambar warna yang meliputi samada keseluruhan tanaman atau bahagian tertentu yang boleh membantu dalam pengecaman tumbuhan juga dipaparkan.

Adalah menjadi harapan buku ini boleh dijadikan panduan kepada pengamal serta pencinta ilmu perubatan tumbuhan ubatan dalam membuat pengecaman tumbuhan berkenaan. Bagi penyelidik, buku ini mungkin boleh dijadikan panduan dalam pemilihan tumbuhan ubatan untuk kajian yang lebih lanjut yang meliputi penentuan bahan kimia bioaktif, nilai perubatan, teknologi penanaman agar sebahagian daripada tanaman ini dapat dikomersialkan sebagai satu industri satu masa nanti.

1 comment:

Anonymous said...

As salam tn. hj.

Buku ni nak beli kat mana?