Saturday, July 25, 2009

Manual Teknologi Penanaman Dukung Anak


SINOPSIS
Bagi peminat seni taman atau petani, dukung anak merupakan sejenis rumpai yang boleh dikatakan bermasalah kerana tumbuhan ini agak susah hendak dikawal. Bijinya yang terhasil dengan banyak dan mudah tersebar menyebabkan tumbuhan ini banyak terdapat di ladang tanaman atau di kawasan seni taman sama ada di atas tanah ataupun di dalam pasu. Walau bagaimanapun bagi pengamal perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan mempunyai khasiat yang menakjubkan. Berdasarkan khasiat yang menakjubkan ini, dukung anak telah dianggap sebagai salah satu tanaman terpenting dalam abad ke 21.

Pengkomersialan tanaman dukung anak telah bermula sejak beberapa tahun lalu. Akhir-akhir ini usaha untuk menghasilkan bahan farmaseutikal berasaskan tanaman dukung anak telah dipergiatkan dengan adanya kilang yang dibina khusus untuk tujuan tersebut. Kajian yang dijalankan telah berjaya menghasilkan ekstrak piawai yang diberi nama EPN 797. Ekstrak ini ialah campuran kompleks yang mengandungi flavonoid dan corilagin. Ekstrak piawai ini mempunyai sifat-sifat spesifik atau capjari kimia dari segi kandungan bahan kimia dan aktiviti biologi. Ekstrak piawai digunakan untuk tujuan pemantauan bagi memastikan produk yang dihasilkan mencapai tahap dan kualiti yang ditetapkan. Produk yang dihasilkan oleh kilang ini disyorkan untuk penyakit yang berkaitan dengan hati seperti rawatan hepatitis B serta penyakit kuning (jaundis)

Sehubungan dengan itu tumbuhan ini telah mula diberi perhatian oleh pengusaha tempatan dan mula ditanam secara komersial. Kajian dalam aspek pengeluaran tanaman khususnya teknik pengeluaran anak benih, pengeluaran di ladang dan pengendalian lepas tuai telah dijalankan. Manual ini disediakan hasil daripada penyelidikan tersebut bagi memastikan bahan mentah yang dihasilkan memenuhi kuantiti dan tahap kualiti yang diperlukan oleh kilang tempatan. Manual ini boleh dijadikan panduan bagi pengusaha yang ingin menanam dukung anak secara komersial Maklumat dalam manual ini juga diharap boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

No comments: