Saturday, April 16, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 16. Pembungkusan danPenyimpanan
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 15. Pengeringan
Secara tradisi, masyarakat Melayu mengeringkan tumbuhan ubatan dengan menjemur di bawah matahari, dibiarkan kering di tempat teduh, di salai di atas bara api, disangai (goreng tanpa minyak) atau digoreng di dalam pasir panas. Bagi tujuan komersial, pengeringan dengan menggunakan cahaya matahari tidak sesuai kerana pancaran sinaran uv daripada matahari secara terus dikhuatiri boleh menjejaskan kandungan bahan bioaktif. Dalam pengeluaran secara komersial, kaedah pengeringan khusus disediakan untuk memastikan bahan mentah yang dihasilkan dapat dikeringkan dalam bentuk yang lebih banyak dan berterusan. Bagi memudahkan pengeringan, bahan tanaman yang besar (seperti tongkat ali, ubi jaga, pokok emas cotek dan kayu manis) dipotong kecil.
Beberapa kaedah pengeringan untuk tujuan komersial adalah seperti berikut:
Pengeringan di bawah teduhan Gambar: tradisional drying
Kaedah ini bersesuaian bagi tanaman yang mempunyai kandungan air yang rendah seperti pokok dukung anak dan boleh diamalkan oleh pengusaha yang menanam secara kecil-kecilan terutama sekali pada musim panas. Sistem ini tidak memerlukan infrastruktur khusus dan kos pengendaliannya juga murah. Tetapi prestasi pengeringan bergantung pada cuaca.
Pengeringan menggunakan rumah plastik
Walaupun pengeringan menggunakan rumah plastik memerlukan struktur khusus, kos pengendaliannya murah. Berbanding dengan pengeringan di bawah teduhan, teknik pengeringan ini lebih cepat. Dalam sistem ini, bahan tumbuhan boleh didedahkan terus kepada cahaya matahari kerana plastik yang digunakan berupaya menapis pancaran ultra ungu dengan berkesan. Sistem ini hanya sesuai bagi pengutipan dan pengeringan di musim kering.
Pengeringan menggunakan ketuhar komersial
Bagi pengeringan menggunakan ketuhar komersil, pengawalan suhu dapat dibuat dengan mudah, tepat dan boleh dikendalikan secara automatik sepanjang tahun. Ketuhar komersial bagaimanapun mempunyai ruang pengeringan yang terhad dan memakan masa yang lama kerana perlu menggunakan suhu yang rendah bagi mengelakkan kehilangan bahan bioaktif. Oleh itu jumlah yang dapat dikeringkan adalah terhad.
Pengeringan menggunakan ban tembakau
Ban tembakau boleh diubahsuai untuk pengeringan tumbuhan ubatan. Pengubahsuaian terhadap rak pengeringan perlu disesuaikan dengan tumbuhan yang akan dikeringkan. Ban tembakau yang asal boleh terus digunakan bagi mengeringkan pokok seperti misai kucing dan hempedu bumi yang boleh diikat dan digantung. Bagi tumbuhan yang tidak bertangkai seperti pegaga atau yang mempunyai daun yang mudah gugur seperti dukung anak, dulang pengeringan yang bersesuaian perlu digunakan. Ban tembakau mempunyai beberapa kebaikan seperti ruang pengeringan yang luas, kos pengendalian dan pembinaan yang murah serta boleh digunakan sepanjang tahun.
Kesemua sistem pengeringan di atas perlu dijalankan pada suhu yang tidak melebihi 400C. Pengeringan yang melebihi suhu ini akan mengganggu kandungan bioaktif bahan ubatan tersebut dan menyebabkan nilai ubatannya turut terganggu.
Tuesday, April 05, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 14. Penuaian Hasil Dan Pengendalian Lepas Tuai
Keseluruhan pokok atau bahagian atas - hendaklah dituai semasa pokok mula berbunga.
Daun - tuai daun yang mula matang. Elakkan memetik daun yang telah terlampau tua dan mula gugur atau terlalu muda.
Akar atau rizom - hendaklah dituai apabila pertumbuhan vegetatif terhenti. Sebagai contoh, kunyit, halia, cekur dan temu dituai apabila pokoknya mula menunjukkan tanda akan mati.
Kulit batang - hendaklah dituai pada permulaan musim hujan bagi mempercepatkan pemulihan pokok. Pengambilan kulit hendaklah dibuat pada pokok yang telah matang tanpa mencederakan tanaman berkenaan.
Bunga - hendaklah dituai pada peringkat mula mengembang.
Buah dan biji - hendaklah dituai buah yang matang
Umur yang sesuai untuk penuaian serta jangka masa menuai bagi beberapa tumbuhan terpilih adalah seperti di dalam jadual. Panduan dan petua am yang harus diberi perhatian ketika pengutipan hasil atau pengumpulan tumbuhan ubatan adalah seperti berikut:
- Buat perancangan bagi memastikan pengutipan hasil dilakukan pada musim kering. Bahan yang dikutip pada musim lembap atau musim hujan pada amnya mengandungi peratus bahan bioaktif yang lebih rendah berbanding dengan bahan yang dikutip pada musim kering.
- Pengutipan hendaklah dijalankan pada waktu pagi agar proses pengeringan dapat terus dijalankan pada hari yang sama.
- Perlu dipilih tumbuhan yang subur, sihat dan tidak diserang perosak atau penyakit kerana tumbuhan yang diserang perosak akan dicemari dengan bahan asing seperti spora kulat atau najis serangga. Bahan tanaman yang diserang perosak juga mudah dijangkiti kulat dan penyakit semasa dalam simpanan.
- Perlu dipastikan juga, bahan mentah yang dituai tidak dicemari dengan benda asing seperti rumput rumpai dan bahan lengai seperti pasir dan tanah.
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 13. Keperluan teduhan
Secara semula jadi tumbuhan ubatan yang terdapat di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu yang hidup di kawasan terbuka dan di kawasan hutan, semak atau belukar. Bagi tumbuhan yang semula jadinya hidup di kawasan hutan, pengaruh naungan tumbuhan sekeliling adalah penting untuk pertumbuhan yang baik. Bagi penanaman secara komersial, keperluan naungan tumbuhan ini perlu disesuaikan dengan keadaan semula jadi. Sebagai contoh, tumbuhan ubatan seperti mas cotek dan kacip fatimah memerlukan naungan sehingga 50-80% untuk pertumbuhan yang terbaik manakala bagi tumbuhan semusim (seperti hempedu bumi) hanya memerlukan 20-30% naungan. Bagi tujuan memberi naungan sistem perhutanan tani atau sistem tanaman integrasi dengan tumbuhan komersial kekal lain seperti getah, kelapa atau kelapa sawit boleh juga diamalkan.
Friday, March 04, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 12. Pengurusan Perosak
Racun serangga yang berasaskan bakteria Bacillus thuringiensis (BT). Racun jenis ini bertindak sebagai racun perut dengan menyebabkan sistem usus serangga menjadi lumpuh. Racun BT ini amat berkesan bagi beberapa jenis serangga pemakan daun seperti ulat pucuk (Spodoptera litura).
Ekstrak daripada biji semambu (neem) yang banyak terdapat di pasaran boleh juga digunakan. Ekstrak ini mengandungi bahan aktif azadirachtin dan non-azadirachtin. Kedua bahan bioaktif ini bertindak dengan menghalang serangga perosak memakan tanaman yang disemburkan. Ekstrak bukan azadirachtin dalam ekstrak semambu juga dapat bertindak sebagai racun serangga dan racun kulat.
Penggunaan minyak kayu putih. Minyak kayu putih pula bertindak dengan menutup lubang pernafasan serangga, berinteraksi dengan asid lemak dalam serangga dan seterusnya mengganggu metabolisme dan proses pemakanan bagi serangga jenis menghisap. Sabun pencuci tangan atau pinggan mangkuk dapat bertindak sebagai racun serangga yang berkesan terutama terhadap kutu daun, benah putih, koya (mealybug) dan hamama tanpa meninggalkan sisa baki. Sabun bertindak dengan melarutkan lapisan lilin yang meliputi kulit serangga. Ini akan menyebabkan serangga kehilangan cecair dari tubuh dan seterusnya akan menyebabkan kematian.
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 11. Sistem pengairan
Pengairan tembakan hujan - Sistem ini menghasilkan pancutan air berkuasa tinggi dengan jejari sebaran air dalam lingkungan 25-35 m, bergantung kepada kuasa enjin dan pam serta jenis kepala yang digunakan. Sistem ini memerlukan sumber air yang banyak di samping kuasa enjin dan pam yang lebih tinggi dan sesuai untuk tumbuhan semusim yang diusahakan secara komersil.
Pengairan renjis - Sistem ini menyerupai sistem pengairan tembakan hujan tetapi jejari sebaran airnya terhad kepada 10-15 m sahaja. Sistem ini sesuai bagi tanaman semusim yang kawasan penanamannya lebih terhad. Keupayaan pam dan enjin bergantung kepada jumlah kepala yang akan dipasang pada satu masa.
Pengairan titis - Sistem ini berbeza ini berbeza dengan sistem di atas kerana sebaran airnya secara titisan dan terhad kepada kawasan sekeliling pangkal pokok. Sistem ini sesuai bagi kawasan yang mempunyai air yang terhad dan bagi tumbuhan kekal seperti tongkat ali, mengkudu dan lain-lain. Pengairan titis juga sesuai bagi kawasan berbukit. Di antara kebaikan sistem ini ialah baja dapat diberi semasa pengairan. Dalam sistem ini, air yang diberi tidak membasahi daun dan persekitaran pokok. Oleh itu, sistem ini amat sesuai bagi tumbuhan ubatan yang sensitif dan mudah dijangkiti penyakit akibat persekitaran mikro yang lembap. Sistem ini juga masih boleh diamalkan walaupun tanaman menggunakan sungkupan plastik kerana pita saliran boleh diatur di bawah sungkupan plastik tersebut.
Friday, February 04, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 10. Pembajaan
Sumber : http://medplants-malaysia.blogspot.com/2009/07/tumbuhan-ubatan-popular-malaysia.html
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 9. Pembiakan bahan tanaman
Pemahaman asas mengenai teknik pembiakan tumbuhan adalah penting bagi memastikan bahan tanaman berkualiti dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dalam jangka masa yang singkat. Teknik yang digunakan bergantung kepada jenis tumbuhan itu sendiri. Kebanyakan boleh tumbuh dengan mudah daripada biji benih, namun begitu terdapat juga biji benih yang memerlukan rawatan tertentu bagi memastikan penghasilan anak benih yang berkualiti. Pembiakan tampang dengan menggunakan keratan pucuk, rizom, ubi atau pelunasan boleh juga digunakan bagi sesetengah tumbuhan ubatan. Selain daripada cara pembiakan, penggunaan media tanaman yang betul juga penting bagi memastikan biji benih atau keratan vegetatif yang dibiakkan menghasilkan anak pokok yang sihat. Terdapat pelbagai media tanaman komersil di pasaran, termasuk yang telah diubahsuai dengan mencampurkan bahan seperti habuk kelapa, Kek Endap Cemar Kelapa Sawit (KECKS) dan sekam padi bagi memenuhi keperluan pelbagai tumbuhan ubatan. Sebagai contoh, campuran media tanaman yang menggunakan habuk kelapa boleh mempercepatkan pertumbuhan keratan akar dan batang kacip fatimah dan emas cotek. Di samping itu, media serta bekas tanaman perlu diubahsuai sekiranya penanaman ke ladang akan dilakukan dengan menggunakan jentera menanam.
Pembiakan melalui biji benih
Teknik penyemaian berbeza mengikut saiz biji benih. Bagi biji benih yang bersaiz kecil (seperti dukung anak, hempedu bumi dan sena maki), penyemaian hendaklah terlebih dahulu dibuat di dalam dulang penyemaian sebelum dipindah kepada polibag atau dulang penanaman. Ini akan memudahkan pengurusan anak benih dan seterusnya memastikan anak benih yang dihasilkan berkualiti. Penggunaan dulang penanaman juga memudahkan pengendalian anak benih semasa menanam. Anak benih jenis ini juga boleh ditanam dengan menggunakan jentera. Manakala biji benih yang sederhana besar (seperti rosel, bendi, tongkat ali dan mengkudu) boleh terus disemai ke dalam polibag atau dulang penanaman. Sementara itu, biji benih yang mudah tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan rapi (seperti kangkung, ulam raja dan padi) boleh ditabur terus ke kawasan penanaman.
Pembiakan secara vegetatif
Bahagian yang sesuai digunakan sebagai bahan pembiakan vegetatif bergantung kepada jenis tumbuhan. Di antara bahagian yang biasa digunakan ialah keratan batang, ubi, rizom, atau anak pokok. Pada keseluruhannya, keratan batang lebih mudah dan kerap digunakan. Untuk tujuan tersebut, keratan sederhana matang lebih sesuai digunakan tetapi bagi emas cotek keratan batang muda dapat memberi peratus kejayaan yang lebih tinggi berbanding dengan keratan sederhana matang. Manakala penggunaan ubi adalah sesuai bagi tanaman keladi, ubi bemban, kemoyang dan rumput sambau. Bagi tumbuhan seperti halia, kunyit, temu, lengkuas dan cekur, rizom biasanya digunakan sebagai bahan tanaman. Anak pokok pula boleh digunakan sebagai bahan tanaman bagi pandan, pegaga dan keladi murai.
Tanaman | Cara pembiakan | Teknik |
Cekur | Rizom | Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas |
Dukung anak | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang |
Emas cotek | Keratan ranting | Keratan ranting muda yang mempunyai 2-3 mata tunas |
Halia | Rizom | Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas |
Hempedu bumi | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang |
Kacip fatimah | Akar & batang | Keratan akar dan batang |
Kesum | Batang | Keratan batang sepanjang 15-20 cm dan mempunyai 5-7 ruas |
Kunyit | Rizom | Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas |
Limau purut | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag |
Mengkudu | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag |
Misai kucing | Keratan ranting | Penyemaian keratan yang mempunyai 3-4 pasang daun ke dalam dulang menanam |
Pandan | Sulur | Anak sulur berukuran 15-20 cm panjang |
Pegaga | Batang | Batang matang yang mempunyai akar |
Rosel | Rizom | Percambahan terus di dalam dulang menanam |
Selasih | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang |
Senna maki | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang |
Serai makan | Anak pokok | Serpihan anak yang berakar |
Serai wangi | Anak pokok | Serpihan anak yang berakar |
Tea tree | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang |
Tongkat ali | Biji benih | Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag |
Saturday, January 15, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 7. Penyediaan kawasan tanaman
Bagi kawasan yang baru atau yang banyak rumpai, penyediaan tanah perlu dimulai dengan bajak piring bagi memotong akar dan memecahkan tanah. Ini diikuti dengan bajak putar untuk menggemburkan tanah di samping menghapuskan rumpai. Seterusnya keperluan batas tanaman bergantung kepada jenis tumbuhan ubatan yang ingin diusahakan. Bagi tumbuhan semusim seperti hempedu bumi, dukung anak dan sena maki, batas hendaklah dibina bagi memudahkan amalan pengurusan tanaman seperti membaja, pengawalan rumpai, pengurusan perosak dan pengutipan hasil. Penanaman di atas batas juga memudahkan pengaliran air bagi tanaman yang sangat sensitif terhadap air bertakung. Lebar dan tinggi batas bergantung kepada keperluan tumbuhan berkenaan. Sebagai panduan, tinggi batas hendaklah tidak kurang daripada kedalaman efektif akar bagi tanaman tersebut. Manakala lebar batas pula bergantung kepada saiz kanopi tumbuhan berkenaan serta jarak tanaman yang diperlukan. Bagi tanaman yang mempunyai lebar kanopi yang kecil seperti dukung anak dan hempedu bumi, beberapa baris tanaman boleh ditanam di atas setiap batas. Penentuan lebar batas juga bergantung kepada peralatan kejenteraan yang ada. Peralatan tersebut termasuklah alat untuk membuat batas, menempur dan seterusnya peralatan pengurusan perosak dan pengutipan hasil.
Sementara itu, tanaman kekal seperti tongkat ali, mengkudu, limau purut dan limau nipis tidak memerlukan batas penanaman. Penyediaan kawasan untuk tanaman-tanaman ini sama seperti di atas, manakala jarak antara tanaman bergantung kepada saiz kanopi dan sistem tanaman yang diamalkan.
Tuesday, January 04, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 6. Sistem tanaman

Tumbuhan ubatan boleh ditanam dan dihasilkan melalui pelbagai sistem dan kaedah. Antaranya ialah sistem tanaman tunggal di lapangan terbuka, perhutanan tani (di bawah perladangan hutan atau pembersihan hutan) dan penanaman integrasi antara tumbuhan ubatan dengan tanaman kekal seperti kelapa sawit dan getah. Penanaman secara tunggal (monokultur) sesuai bagi tanaman yang memerlukan sinaran cahaya matahari yang sepenuhnya untuk pertumbuhan yang maksimum. Antara tumbuhan yang sesuai diusahakan bagi sistem tanaman ini ialah tanaman jangka pendek seperti selasih, dukung anak, nilam, kesum dan tanaman kekal seperti misai kucing dan mengkudu. Manakala tanaman yang sesuai ditanam secara integrasi dengan tanaman kekal atau perladangan hutan ialah kacip fatimah, tongkat ali dan tanaman yang memerlukan teduhan.
Pemilihan tumbuhan ubatan yang sesuai amat penting dalam mengamalkan sistem-sistem pengeluaran tersebut. Sebagai contoh, tumbuhan ubatan seperti kacip fatimah dan tongkat ali memerlukan peratus teduhan yang berbeza bagi mendapatkan pertumbuhan yang optimum. Kacip fatimah memerlukan teduhan melebihi 70% dan sesuai ditanam di hutan dara, manakala tongkat ali yang memerlukan lebih cahaya boleh ditanam secara integrasi bersama kelapa sawit, kelapa atau getah. Pemilihan tanaman yang serasi amat penting kerana kombinasi yang tidak tepat boleh menggencat tumbuhan ubatan berkenaan. Sebagai contoh, kaci fatimah tidak boleh diintegrasikan dengan getah kerana musim daun meluruh bagi getah akan memusnahkan tanaman kacip fatimah.
Sistem perhutanan tani yang boleh diamalkan ialah:
- Sistem tanaman jalur - Secara asasnya sistem ini melibatkan penanaman tumbuhan ubatan di antara baris dalam perladangan hutan berkenaan. Objektif utama ialah untuk memaksimumkan penggunaan tanah pada peringkat awal pertumbuhan tanaman ladang utama seperti getah, kelapa sawit atau hutan ladang. Tumbuhan ubatan seperti serai wangi, halia, kunyit dan temu boleh tumbuh dengan baik di kawasan yang terbuka dan sesuai juga di tanam di kawasan tanaman getah atau kelapa sawit yang baru diusahakan. Di samping itu, tanaman yang memerlukan sedikit naungan seperti hempedu bumi boleh diusahakan bersama dengan tanaman yang telah matang.
- Sistem tanaman berpagar - Tanaman berpagar pula ialah penanaman tumbuhan ubatan semusim di antara pokok renek dan pokok besar yang ditanam secara berpagar. Dalam sistem ini, barisan tanaman kekal utama ditanam lebih jarak daripada biasa. Populasi optimum bagi tanaman berkenaan dikekalkan dengan mendekatkan jarak tanaman dalam baris. Ruang yang lebih lebar antara baris ditanam dengan tumbuhan ubatan yang bersesuaian. Antara kombinasi yang bersesuaian dengan sistem ini ialah getah atau perladangan hutan bersama dengan tongkat ali, mengkudu atau serai wangi.
- Sistem tanaman rawak - Di bawah sistem tanaman rawak pula spesies tumbuhan ubatan di tanam secara rawak di kawasan yang kosong di ladang pertanian atau di hutan-hutan. Kawasan yang kosong mungkin disebabkan ditinggal terbiar atau disebabkan kematian pokok yang sedia ada. Kematian ini mungkin disebabkan penyakit, kerosakan fizikal oleh ribut atau sengaja ditinggalkan kosong di sekitar kawasan bangunan pejabat atau rumah pekerja. Pemilihan tanaman hendak yang bersesuaian dengan kawasan berkenaan.
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 5. Penanaman

Permintaan terhadap tumbuhan ubatan untuk pengeluaran ubatan tradisional dewasa ini semakin meningkat. Di Malaysia, keperluan produk tumbuhan ubatan bernilai melebihi RM 732.6 juta pada tahun 2002 dan di jangka meningkat sehingga RM 1.42 bilion pada tahun 2010. Kini hanya kurang daripada 10% bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran ubatan tradisional ditanam di Malaysia dan yang selebihnya diimport dari luar negara atau dikutip daripada tumbuhan liar. Pengimportan bahan mentah akan mendedahkan industri tempatan kepada ketidakstabilan bekalan, harga dan kualiti. Keadaan ini akan menghalang perkembangan industri tumbuhan ubatan tempatan, dan akan memberi kesan kepada aliran keluar tukaran wang asing.
Di samping itu, amalan mengumpul dan mengutip tumbuhan ubatan liar untuk tujuan pengeluaran produk akan mengganggu potensi komersil produk tersebut. Keadaan ini tidak akan menjamin kualiti serta bekalan bahan mentah secara berterusan. Cara terbaik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tumbuhan ubatan ialah dengan menanam secara komersial. Walaupun terdapat tanggapan bahawa tumbuhan yang ditanam ini tidak akan sama dengan tumbuhan dari habitat asal, namun tidak terdapat mana-mana pihak yang telah mengesahkannya. Contoh yang terbaik ialah ginseng yang telah berjaya ditanam secara komersil di Amerika Syarikat dan Kanada, walaupun tanaman tersebut berasal dari negara Jepun dan Korea. Kini, tanaman tersebut telah dieksport kembali ke Asia timur termasuk Jepun dan Korea.
Dalam memastikan tumbuhan ubatan boleh ditanam secara komersial tanpa menghilangkan nilai ubatannya, pemahaman yang baik tentang keperluan tumbuhan tersebut adalah sangat penting. Ini termasuklah pemahaman tentang habitat semula jadinya, teknik pengumpulan, cara pembiakan tanaman, penuaian dan pengendalian lepas tuai. Pemahaman tersebut membolehkan tumbuhan ubatan ini dihasilkan dengan jayanya di dalam persekitaran yang baru.
Pada kebiasaannya keperluan tumbuhan ubatan ini tiada bezanya dengan tumbuhan komersial yang lain. Antara aspek asas yang perlu diberi perhatian ialah sistem tanaman, penyediaan kawasan, pemilihan varieti dan teknik pembiakan bahan tanaman yang bersesuaian. Selain daripada itu amalan agronomi seperti pembajaan yang betul, pengurusan pengairan, amalan kultur dan pengawalan serangga perosak yang bersesuaian juga tidak kurang penting.
Monday, January 03, 2011
Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 4 : Pengurusan Sumber Genetik
Malaysia mempunyai kepelbagaian tumbuhan yang terdiri daripada spesies tumbuhan ubatan asli dan aromatik. Daripada sejumlah 1,600 spesies yang dilaporkan mempunyai khasiat perubatan, hanya sebilangan kecil sahaja yang telah atau sedang ditanam dan dikaji secara saintifik. Terdapat banyak lagi yang belum diterokai dari segi kandungan kimianya. Janaplasma tumbuhan ubatan yang begitu banyak perlu dikumpulkan dan disimpan sebelum ianya pupus akibat penebangan hutan atau pengutipan bahan yang berleluasa untuk tujuan komersil.
Di masa kini, kebanyakan pengusaha tumbuhan ubatan, termasuk pengilang mengumpul bahan keperluan mereka dari sumber asli iaitu dari hutan. Biasanya mereka menggunakan khidmat pengumpul profesional dengan bantuan orang asli dalam mendapatkan bahan keperluan mereka. Jika amalan ini tidak dibendung, berkemungkinan besar tumbuh-tumbuhan ini akan pupus. Contohnya, ramai yang sanggup meneroka lebih jauh ke dalam hutan bagi mencari pokok tongkat ali kerana semakin sukar untuk mendapatkannya.
Dalam memastikan sumber genetik tumbuhan ubatan ini terpelihara untuk kegunaan pada masa hadapan, beberapa inisiatif untuk memuliharanya perlu dijalankan. Pemuliharaan sumber genetik tumbuhan ubatan ini boleh dibuat dengan beberapa cara. Antaranya ialah:
Membangunkan bank genetik tumbuhan ubatan melalui simpanan biji benih atau bahan tumbuhan lain yang boleh dibiakkan untuk kegunaan di kemudian hari.
Pemuliharaan sumber genetik secara in situ. Ini merujuk kepada pemuliharaan di bawah persekitaran semula jadinya. Contoh yang terbaik ialah hutan simpan seperti taman negara yang meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu di semenanjung Malaysia dan taman negara di Sarawak dan Sabah. Pemuliharaan hutan simpan ini mewakili ekosistem yang berlainan bagi memastikan sumber genetik yang dipulihara juga berbeza. Dalam memastikan pemuliharaan in situ ini berjaya, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Antaranya ialah dengan mewartakan kawasan berkenaan sebagai kawasan larangan. Dalam keadaan tertentu, penanaman semula spesies tertentu perlu dijalankan.




