Secara tradisi, masyarakat Melayu mengeringkan tumbuhan ubatan dengan menjemur di bawah matahari, dibiarkan kering di tempat teduh, di salai di atas bara api, disangai (goreng tanpa minyak) atau digoreng di dalam pasir panas. Bagi tujuan komersial, pengeringan dengan menggunakan cahaya matahari tidak sesuai kerana pancaran sinaran uv daripada matahari secara terus dikhuatiri boleh menjejaskan kandungan bahan bioaktif. Dalam pengeluaran secara komersial, kaedah pengeringan khusus disediakan untuk memastikan bahan mentah yang dihasilkan dapat dikeringkan dalam bentuk yang lebih banyak dan berterusan. Bagi memudahkan pengeringan, bahan tanaman yang besar (seperti tongkat ali, ubi jaga, pokok emas cotek dan kayu manis) dipotong kecil.
Beberapa kaedah pengeringan untuk tujuan komersial adalah seperti berikut:
Pengeringan di bawah teduhan Gambar: tradisional drying
Kaedah ini bersesuaian bagi tanaman yang mempunyai kandungan air yang rendah seperti pokok dukung anak dan boleh diamalkan oleh pengusaha yang menanam secara kecil-kecilan terutama sekali pada musim panas. Sistem ini tidak memerlukan infrastruktur khusus dan kos pengendaliannya juga murah. Tetapi prestasi pengeringan bergantung pada cuaca.
Pengeringan menggunakan rumah plastik
Walaupun pengeringan menggunakan rumah plastik memerlukan struktur khusus, kos pengendaliannya murah. Berbanding dengan pengeringan di bawah teduhan, teknik pengeringan ini lebih cepat. Dalam sistem ini, bahan tumbuhan boleh didedahkan terus kepada cahaya matahari kerana plastik yang digunakan berupaya menapis pancaran ultra ungu dengan berkesan. Sistem ini hanya sesuai bagi pengutipan dan pengeringan di musim kering.
Pengeringan menggunakan ketuhar komersial
Bagi pengeringan menggunakan ketuhar komersil, pengawalan suhu dapat dibuat dengan mudah, tepat dan boleh dikendalikan secara automatik sepanjang tahun. Ketuhar komersial bagaimanapun mempunyai ruang pengeringan yang terhad dan memakan masa yang lama kerana perlu menggunakan suhu yang rendah bagi mengelakkan kehilangan bahan bioaktif. Oleh itu jumlah yang dapat dikeringkan adalah terhad.
Pengeringan menggunakan ban tembakau
Ban tembakau boleh diubahsuai untuk pengeringan tumbuhan ubatan. Pengubahsuaian terhadap rak pengeringan perlu disesuaikan dengan tumbuhan yang akan dikeringkan. Ban tembakau yang asal boleh terus digunakan bagi mengeringkan pokok seperti misai kucing dan hempedu bumi yang boleh diikat dan digantung. Bagi tumbuhan yang tidak bertangkai seperti pegaga atau yang mempunyai daun yang mudah gugur seperti dukung anak, dulang pengeringan yang bersesuaian perlu digunakan. Ban tembakau mempunyai beberapa kebaikan seperti ruang pengeringan yang luas, kos pengendalian dan pembinaan yang murah serta boleh digunakan sepanjang tahun.
Kesemua sistem pengeringan di atas perlu dijalankan pada suhu yang tidak melebihi 400C. Pengeringan yang melebihi suhu ini akan mengganggu kandungan bioaktif bahan ubatan tersebut dan menyebabkan nilai ubatannya turut terganggu.
No comments:
Post a Comment