Keseluruhan pokok atau bahagian atas - hendaklah dituai semasa pokok mula berbunga.
Daun - tuai daun yang mula matang. Elakkan memetik daun yang telah terlampau tua dan mula gugur atau terlalu muda.
Akar atau rizom - hendaklah dituai apabila pertumbuhan vegetatif terhenti. Sebagai contoh, kunyit, halia, cekur dan temu dituai apabila pokoknya mula menunjukkan tanda akan mati.
Kulit batang - hendaklah dituai pada permulaan musim hujan bagi mempercepatkan pemulihan pokok. Pengambilan kulit hendaklah dibuat pada pokok yang telah matang tanpa mencederakan tanaman berkenaan.
Bunga - hendaklah dituai pada peringkat mula mengembang.
Buah dan biji - hendaklah dituai buah yang matang
Umur yang sesuai untuk penuaian serta jangka masa menuai bagi beberapa tumbuhan terpilih adalah seperti di dalam jadual. Panduan dan petua am yang harus diberi perhatian ketika pengutipan hasil atau pengumpulan tumbuhan ubatan adalah seperti berikut:
- Buat perancangan bagi memastikan pengutipan hasil dilakukan pada musim kering. Bahan yang dikutip pada musim lembap atau musim hujan pada amnya mengandungi peratus bahan bioaktif yang lebih rendah berbanding dengan bahan yang dikutip pada musim kering.
- Pengutipan hendaklah dijalankan pada waktu pagi agar proses pengeringan dapat terus dijalankan pada hari yang sama.
- Perlu dipilih tumbuhan yang subur, sihat dan tidak diserang perosak atau penyakit kerana tumbuhan yang diserang perosak akan dicemari dengan bahan asing seperti spora kulat atau najis serangga. Bahan tanaman yang diserang perosak juga mudah dijangkiti kulat dan penyakit semasa dalam simpanan.
- Perlu dipastikan juga, bahan mentah yang dituai tidak dicemari dengan benda asing seperti rumput rumpai dan bahan lengai seperti pasir dan tanah.
No comments:
Post a Comment