Tuesday, January 04, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 6. Sistem tanaman


Tumbuhan ubatan boleh ditanam dan dihasilkan melalui pelbagai sistem dan kaedah. Antaranya ialah sistem tanaman tunggal di lapangan terbuka, perhutanan tani (di bawah perladangan hutan atau pembersihan hutan) dan penanaman integrasi antara tumbuhan ubatan dengan tanaman kekal seperti kelapa sawit dan getah. Penanaman secara tunggal (monokultur) sesuai bagi tanaman yang memerlukan sinaran cahaya matahari yang sepenuhnya untuk pertumbuhan yang maksimum. Antara tumbuhan yang sesuai diusahakan bagi sistem tanaman ini ialah tanaman jangka pendek seperti selasih, dukung anak, nilam, kesum dan tanaman kekal seperti misai kucing dan mengkudu. Manakala tanaman yang sesuai ditanam secara integrasi dengan tanaman kekal atau perladangan hutan ialah kacip fatimah, tongkat ali dan tanaman yang memerlukan teduhan.
Pemilihan tumbuhan ubatan yang sesuai amat penting dalam mengamalkan sistem-sistem pengeluaran tersebut. Sebagai contoh, tumbuhan ubatan seperti kacip fatimah dan tongkat ali memerlukan peratus teduhan yang berbeza bagi mendapatkan pertumbuhan yang optimum. Kacip fatimah memerlukan teduhan melebihi 70% dan sesuai ditanam di hutan dara, manakala tongkat ali yang memerlukan lebih cahaya boleh ditanam secara integrasi bersama kelapa sawit, kelapa atau getah. Pemilihan tanaman yang serasi amat penting kerana kombinasi yang tidak tepat boleh menggencat tumbuhan ubatan berkenaan. Sebagai contoh, kaci fatimah tidak boleh diintegrasikan dengan getah kerana musim daun meluruh bagi getah akan memusnahkan tanaman kacip fatimah.
Sistem perhutanan tani yang boleh diamalkan ialah:
  • Sistem tanaman jalur - Secara asasnya sistem ini melibatkan penanaman tumbuhan ubatan di antara baris dalam perladangan hutan berkenaan. Objektif utama ialah untuk memaksimumkan penggunaan tanah pada peringkat awal pertumbuhan tanaman ladang utama seperti getah, kelapa sawit atau hutan ladang. Tumbuhan ubatan seperti serai wangi, halia, kunyit dan temu boleh tumbuh dengan baik di kawasan yang terbuka dan sesuai juga di tanam di kawasan tanaman getah atau kelapa sawit yang baru diusahakan. Di samping itu, tanaman yang memerlukan sedikit naungan seperti hempedu bumi boleh diusahakan bersama dengan tanaman yang telah matang.
  • Sistem tanaman berpagar - Tanaman berpagar pula ialah penanaman tumbuhan ubatan semusim di antara pokok renek dan pokok besar yang ditanam secara berpagar. Dalam sistem ini, barisan tanaman kekal utama ditanam lebih jarak daripada biasa. Populasi optimum bagi tanaman berkenaan dikekalkan dengan mendekatkan jarak tanaman dalam baris. Ruang yang lebih lebar antara baris ditanam dengan tumbuhan ubatan yang bersesuaian. Antara kombinasi yang bersesuaian dengan sistem ini ialah getah atau perladangan hutan bersama dengan tongkat ali, mengkudu atau serai wangi.
  • Sistem tanaman rawak - Di bawah sistem tanaman rawak pula spesies tumbuhan ubatan di tanam secara rawak di kawasan yang kosong di ladang pertanian atau di hutan-hutan. Kawasan yang kosong mungkin disebabkan ditinggal terbiar atau disebabkan kematian pokok yang sedia ada. Kematian ini mungkin disebabkan penyakit, kerosakan fizikal oleh ribut atau sengaja ditinggalkan kosong di sekitar kawasan bangunan pejabat atau rumah pekerja. Pemilihan tanaman hendak yang bersesuaian dengan kawasan berkenaan.

No comments: