Saturday, January 15, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 7. Penyediaan kawasan tanaman

Perkara yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan kawasan bergantung kepada spesies tumbuhan ubatan yang ingin diusahakan. Secara keseluruhannya, tahap kemasaman tanah perlu diambil perhatian. Tanah yang masam (berasid) mempunyai nilai pH yang rendah iaitu kurang daripada 5. Nilai pH yang sesuai bagi kebanyakan tanaman ubatan ialah antara 5 hingga 6. Sekiranya tahap pH kurang daripada 5, pengambilan nutrien dan seterusnya prestasi pertumbuhannya akan terganggu. Oleh itu bagi kawasan yang mempunyai pH yang rendah, pengapuran perlu dijalankan.
Bagi kawasan yang baru atau yang banyak rumpai, penyediaan tanah perlu dimulai dengan bajak piring bagi memotong akar dan memecahkan tanah. Ini diikuti dengan bajak putar untuk menggemburkan tanah di samping menghapuskan rumpai. Seterusnya keperluan batas tanaman bergantung kepada jenis tumbuhan ubatan yang ingin diusahakan. Bagi tumbuhan semusim seperti hempedu bumi, dukung anak dan sena maki, batas hendaklah dibina bagi memudahkan amalan pengurusan tanaman seperti membaja, pengawalan rumpai, pengurusan perosak dan pengutipan hasil. Penanaman di atas batas juga memudahkan pengaliran air bagi tanaman yang sangat sensitif terhadap air bertakung. Lebar dan tinggi batas bergantung kepada keperluan tumbuhan berkenaan. Sebagai panduan, tinggi batas hendaklah tidak kurang daripada kedalaman efektif akar bagi tanaman tersebut. Manakala lebar batas pula bergantung kepada saiz kanopi tumbuhan berkenaan serta jarak tanaman yang diperlukan. Bagi tanaman yang mempunyai lebar kanopi yang kecil seperti dukung anak dan hempedu bumi, beberapa baris tanaman boleh ditanam di atas setiap batas. Penentuan lebar batas juga bergantung kepada peralatan kejenteraan yang ada. Peralatan tersebut termasuklah alat untuk membuat batas, menempur dan seterusnya peralatan pengurusan perosak dan pengutipan hasil.
Sementara itu, tanaman kekal seperti tongkat ali, mengkudu, limau purut dan limau nipis tidak memerlukan batas penanaman. Penyediaan kawasan untuk tanaman-tanaman ini sama seperti di atas, manakala jarak antara tanaman bergantung kepada saiz kanopi dan sistem tanaman yang diamalkan.

No comments: