Tuesday, January 04, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 5. Penanaman


Permintaan terhadap tumbuhan ubatan untuk pengeluaran ubatan tradisional dewasa ini semakin meningkat. Di Malaysia, keperluan produk tumbuhan ubatan bernilai melebihi RM 732.6 juta pada tahun 2002 dan di jangka meningkat sehingga RM 1.42 bilion pada tahun 2010. Kini hanya kurang daripada 10% bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran ubatan tradisional ditanam di Malaysia dan yang selebihnya diimport dari luar negara atau dikutip daripada tumbuhan liar. Pengimportan bahan mentah akan mendedahkan industri tempatan kepada ketidakstabilan bekalan, harga dan kualiti. Keadaan ini akan menghalang perkembangan industri tumbuhan ubatan tempatan, dan akan memberi kesan kepada aliran keluar tukaran wang asing.
Di samping itu, amalan mengumpul dan mengutip tumbuhan ubatan liar untuk tujuan pengeluaran produk akan mengganggu potensi komersil produk tersebut. Keadaan ini tidak akan menjamin kualiti serta bekalan bahan mentah secara berterusan. Cara terbaik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tumbuhan ubatan ialah dengan menanam secara komersial. Walaupun terdapat tanggapan bahawa tumbuhan yang ditanam ini tidak akan sama dengan tumbuhan dari habitat asal, namun tidak terdapat mana-mana pihak yang telah mengesahkannya. Contoh yang terbaik ialah ginseng yang telah berjaya ditanam secara komersil di Amerika Syarikat dan Kanada, walaupun tanaman tersebut berasal dari negara Jepun dan Korea. Kini, tanaman tersebut telah dieksport kembali ke Asia timur termasuk Jepun dan Korea.
Dalam memastikan tumbuhan ubatan boleh ditanam secara komersial tanpa menghilangkan nilai ubatannya, pemahaman yang baik tentang keperluan tumbuhan tersebut adalah sangat penting. Ini termasuklah pemahaman tentang habitat semula jadinya, teknik pengumpulan, cara pembiakan tanaman, penuaian dan pengendalian lepas tuai. Pemahaman tersebut membolehkan tumbuhan ubatan ini dihasilkan dengan jayanya di dalam persekitaran yang baru.
Pada kebiasaannya keperluan tumbuhan ubatan ini tiada bezanya dengan tumbuhan komersial yang lain. Antara aspek asas yang perlu diberi perhatian ialah sistem tanaman, penyediaan kawasan, pemilihan varieti dan teknik pembiakan bahan tanaman yang bersesuaian. Selain daripada itu amalan agronomi seperti pembajaan yang betul, pengurusan pengairan, amalan kultur dan pengawalan serangga perosak yang bersesuaian juga tidak kurang penting.

No comments: