Sunday, January 02, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 3 : Pengumpulan Dan Pengecaman Tumbuhan Ubatan

Tumbuhan ubatan dikumpulkan untuk memenuhi pelbagai tujuan. Ada yang dikumpulkan oleh pengumpul profesional bagi membekalkan bahan mentah kepada industri ubatan tradisional tempatan atau sebagai persediaan untuk ubatan oleh pengamal perubatan tradisional. Ada juga individu yang mengumpul tumbuhan ubatan ini bertujuan untuk ditanam di sekitar rumah dan digunakan apabila perlu. Terdapat juga individu yang mengumpul sebagai benih untuk semaian bagi tujuan komersial.
Walau apa pun tujuan tumbuhan ubatan ini dikumpulkan, perlulah dipastikan bahawa tumbuhan tersebut telah dibuat pengecaman yang tepat dan betul. Pada lokasi yang berbeza didapati penggunaan nama juga berbeza. Sebagai contoh, kacip fatimah adalah secara amnya merujuk kepada Labisia pumilla yang mempunyai tiga varieti yang berbeza iaitu L. pumila var alata, L. pumila var pumila dan L. pumila var lanceolata. Kegunaan varieti-varieti kacip fatimah ini sebagai tumbuhan ubatan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu adalah berbeza. Sebagai contoh, L. pumila var pumila digunakan sebagai rawatan bagi wanita selepas bersalin untuk menguatkan badan dan menjarakkan kehamilan. Sebaliknya varieti L. pumila var lanceolata digunakan untuk memulihkan tenaga kelelakian. Contoh lain ialah dukung anak. Ia biasanya merujuk kepada beberapa spesies Phyllanthus iaitu P. niruri, P.. deblis dan P. urinaria. Phyllanthus niruri yang mempunyai daun yang berwarna hijau adalah satu-satu yang digunakan dalam pengeluaran produk komersial walaupun ketiga-tiga spesies digunakan dalam perubatan tradisional. P. urinaria yang mempunyai daun yang berwarna merah adalah lebih disukai oleh orang India dan sebaliknya P. debelis lebih disukai oleh orang Melayu. Contoh yang lebih ketara ialah tongkat ali. Walaupun terdapat tumbuhan dalam genus yang berlainan, ia tetap dirujuk sebagai tongkat ali. Tongkat ali secara umumnya merujuk kepada Eurycoma longifolia, Polyaltia bullata, Strychnos intai, Simlax sp. dan Goniothalamus sp. Di Kelantan, tongkat ali dirujuk kepada Goniothalamus sp. manakala di Terengganu pula ianya dirujuk sebagai Polyaltia bullata, walaupun pada asasnya kegunaannya ialah sama iaitu air rebusan akarnya diguna sebagai tonik kesihatan.
Selain daripada nama tempatan yang berlainan, sifat fizikal sesuatu spesies tanaman pada kebiasaannya berbeza, bergantung kepada persekitaran dan iklim mikro tempat spesies tersebut hidup. Spesies yang sama tumbuh dalam keadaan persekitaran yang lebih subur, altitud yang lebih tinggi atau dalam keadaan tegasan zat nutrien atau air boleh menghasilkan morfologi pertumbuhan yang berlainan berbanding dengan pertumbuhan biasa. Tahap kematangan juga boleh mempengaruhi sifat fizikal seperti bentuk dan saiz daun serta warna. Perbezaan sifat fizikal ini boleh mengelirukan proses pengecaman sesuatu spesies tanaman.
Kesilapan dalam pengecaman akan mendatangkan lebih banyak masalah dan boleh membahayakan kerana sesetengah tumbuhan di hutan tropika seperti di Malaysia adalah beracun. Pengecaman tumbuhan biasanya berdasarkan kepada sifat pertumbuhan dan struktur, warna serta bentuk bunga, buah dan daun. Bagi pengumpul tumbuhan ubatan, pengecaman biasanya berdasarkan kepada pengalaman. Manakala bagi saintis pula, pengecaman dilakukan mengikut prosedur taksonomi yang telah ditentukan dan pada kebiasaannya sampel yang dikumpulkan akan dibandingkan dengan spesimen yang tersimpan di herbarium.

No comments: