Monday, January 03, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 4 : Pengurusan Sumber Genetik

Malaysia mempunyai kepelbagaian tumbuhan yang terdiri daripada spesies tumbuhan ubatan asli dan aromatik. Daripada sejumlah 1,600 spesies yang dilaporkan mempunyai khasiat perubatan, hanya sebilangan kecil sahaja yang telah atau sedang ditanam dan dikaji secara saintifik. Terdapat banyak lagi yang belum diterokai dari segi kandungan kimianya. Janaplasma tumbuhan ubatan yang begitu banyak perlu dikumpulkan dan disimpan sebelum ianya pupus akibat penebangan hutan atau pengutipan bahan yang berleluasa untuk tujuan komersil.

Di masa kini, kebanyakan pengusaha tumbuhan ubatan, termasuk pengilang mengumpul bahan keperluan mereka dari sumber asli iaitu dari hutan. Biasanya mereka menggunakan khidmat pengumpul profesional dengan bantuan orang asli dalam mendapatkan bahan keperluan mereka. Jika amalan ini tidak dibendung, berkemungkinan besar tumbuh-tumbuhan ini akan pupus. Contohnya, ramai yang sanggup meneroka lebih jauh ke dalam hutan bagi mencari pokok tongkat ali kerana semakin sukar untuk mendapatkannya.

Dalam memastikan sumber genetik tumbuhan ubatan ini terpelihara untuk kegunaan pada masa hadapan, beberapa inisiatif untuk memuliharanya perlu dijalankan. Pemuliharaan sumber genetik tumbuhan ubatan ini boleh dibuat dengan beberapa cara. Antaranya ialah:

Membangunkan bank genetik tumbuhan ubatan melalui simpanan biji benih atau bahan tumbuhan lain yang boleh dibiakkan untuk kegunaan di kemudian hari.

Pemuliharaan sumber genetik secara in situ. Ini merujuk kepada pemuliharaan di bawah persekitaran semula jadinya. Contoh yang terbaik ialah hutan simpan seperti taman negara yang meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu di semenanjung Malaysia dan taman negara di Sarawak dan Sabah. Pemuliharaan hutan simpan ini mewakili ekosistem yang berlainan bagi memastikan sumber genetik yang dipulihara juga berbeza. Dalam memastikan pemuliharaan in situ ini berjaya, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Antaranya ialah dengan mewartakan kawasan berkenaan sebagai kawasan larangan. Dalam keadaan tertentu, penanaman semula spesies tertentu perlu dijalankan.

Pemuliharaan sumber genetik secara ex situ yang merujuk kepada pemuliharaan yang dilakukan di luar ekosistem semula jadinya. Antara contoh yang boleh dilihat ialah taman-taman etnobotani seperti Taman Botani di Gua Musang, Kelantan, Taman Etnobotani di Perlis dan Sekayu, Terengganu. Terdapat juga pengumpulan yang dijalankan oleh universiti dan institusi penyelidikan bagi tujuan pendidikan. Antaranya ialah Taman Etnobotani di Jerangau oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Rimba Ilmu di Universiti Malaya, Taman Etnobotani di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Kepong. Terdapat juga beberapa lagi taman etnobotani yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri seperti Taman Botani Semengoh, Taman Pertanian Sungai Seview dan Taman Hutan Sama Jaya di Sarawak. Kehadiran taman-taman etnobotani seperti ini membolehkan penyimpanan kepelbagaian genetik tumbuhan ubatan yang penting dijalankan.

    No comments: