Friday, March 04, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 11. Sistem pengairan

Untuk memastikan pokok tumbuh dengan subur, pemberian air yang mencukupi adalah penting. Kekurangan air semasa pertumbuhan boleh menjejaskan hasil dan kualiti bahan mentah yang dihasilkan. Sistem pengairan yang diperlukan bergantung kepada spesies tanaman dan jenis tanah di mana tumbuhan ubatan ini diusahakan. Antara sistem pengairan yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
Pengairan tembakan hujan - Sistem ini menghasilkan pancutan air berkuasa tinggi dengan jejari sebaran air dalam lingkungan 25-35 m, bergantung kepada kuasa enjin dan pam serta jenis kepala yang digunakan. Sistem ini memerlukan sumber air yang banyak di samping kuasa enjin dan pam yang lebih tinggi dan sesuai untuk tumbuhan semusim yang diusahakan secara komersil.
Pengairan renjis - Sistem ini menyerupai sistem pengairan tembakan hujan tetapi jejari sebaran airnya terhad kepada 10-15 m sahaja. Sistem ini sesuai bagi tanaman semusim yang kawasan penanamannya lebih terhad. Keupayaan pam dan enjin bergantung kepada jumlah kepala yang akan dipasang pada satu masa.
Pengairan titis - Sistem ini berbeza ini berbeza dengan sistem di atas kerana sebaran airnya secara titisan dan terhad kepada kawasan sekeliling pangkal pokok. Sistem ini sesuai bagi kawasan yang mempunyai air yang terhad dan bagi tumbuhan kekal seperti tongkat ali, mengkudu dan lain-lain. Pengairan titis juga sesuai bagi kawasan berbukit. Di antara kebaikan sistem ini ialah baja dapat diberi semasa pengairan. Dalam sistem ini, air yang diberi tidak membasahi daun dan persekitaran pokok. Oleh itu, sistem ini amat sesuai bagi tumbuhan ubatan yang sensitif dan mudah dijangkiti penyakit akibat persekitaran mikro yang lembap. Sistem ini juga masih boleh diamalkan walaupun tanaman menggunakan sungkupan plastik kerana pita saliran boleh diatur di bawah sungkupan plastik tersebut.
Pengairan alur - Bagi sistem pengairan alur, air disalirkan ke kawasan tanaman menerusi parit kecil. Sistem pengairan ini sesuai bagi kawasan tanah yang rata dan kadar larut lesap yang rendah seperti tanah aluvium dan tidak sesuai bagi kawasan tanah berpasir seperti tanah bris. Pengairan alur memerlukan sumber air yang lebih banyak berbanding dengan sistem titis atau renjis.

No comments: