Friday, February 04, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 9. Pembiakan bahan tanaman




Pemahaman asas mengenai teknik pembiakan tumbuhan adalah penting bagi memastikan bahan tanaman berkualiti dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dalam jangka masa yang singkat. Teknik yang digunakan bergantung kepada jenis tumbuhan itu sendiri. Kebanyakan boleh tumbuh dengan mudah daripada biji benih, namun begitu terdapat juga biji benih yang memerlukan rawatan tertentu bagi memastikan penghasilan anak benih yang berkualiti. Pembiakan tampang dengan menggunakan keratan pucuk, rizom, ubi atau pelunasan boleh juga digunakan bagi sesetengah tumbuhan ubatan.  Selain daripada cara pembiakan, penggunaan media tanaman yang betul juga penting bagi memastikan biji benih atau keratan vegetatif yang dibiakkan menghasilkan anak pokok yang sihat. Terdapat pelbagai media tanaman komersil di pasaran, termasuk yang telah diubahsuai dengan mencampurkan bahan seperti habuk kelapa, Kek Endap Cemar Kelapa Sawit (KECKS) dan sekam padi bagi memenuhi keperluan pelbagai tumbuhan ubatan. Sebagai contoh, campuran media tanaman yang menggunakan habuk kelapa boleh mempercepatkan pertumbuhan keratan akar dan batang kacip fatimah dan emas cotek. Di samping itu, media serta bekas tanaman perlu diubahsuai sekiranya penanaman ke ladang akan dilakukan dengan menggunakan jentera menanam.
Pembiakan melalui biji benih
Teknik penyemaian berbeza mengikut saiz biji benih. Bagi biji benih yang bersaiz kecil (seperti dukung anak, hempedu bumi dan sena maki), penyemaian hendaklah terlebih dahulu dibuat di dalam dulang penyemaian sebelum dipindah kepada polibag atau dulang penanaman. Ini akan memudahkan pengurusan anak benih dan seterusnya memastikan anak benih yang dihasilkan berkualiti. Penggunaan dulang penanaman juga memudahkan pengendalian anak benih semasa menanam. Anak benih jenis ini juga boleh ditanam dengan menggunakan jentera. Manakala biji benih yang sederhana besar (seperti rosel, bendi, tongkat ali dan mengkudu) boleh terus disemai ke dalam polibag atau dulang penanaman. Sementara itu, biji benih yang mudah tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan rapi (seperti kangkung, ulam raja dan padi) boleh ditabur terus ke kawasan penanaman.
Pembiakan secara vegetatif
Bahagian yang sesuai digunakan sebagai bahan pembiakan vegetatif bergantung kepada jenis tumbuhan. Di antara bahagian yang biasa digunakan ialah keratan batang, ubi, rizom, atau anak pokok. Pada keseluruhannya, keratan batang lebih mudah dan kerap digunakan. Untuk tujuan tersebut, keratan sederhana matang lebih sesuai digunakan tetapi bagi emas cotek keratan batang muda dapat memberi peratus kejayaan yang lebih tinggi berbanding dengan keratan sederhana matang. Manakala penggunaan ubi adalah sesuai bagi tanaman keladi, ubi bemban, kemoyang dan rumput sambau. Bagi tumbuhan seperti halia, kunyit, temu, lengkuas dan cekur, rizom biasanya digunakan sebagai bahan tanaman. Anak pokok pula boleh digunakan sebagai bahan tanaman bagi pandan, pegaga dan keladi murai.

Teknik dan cara pembiakan bagi tumbuhan ubatan terpilih
Tanaman
Cara pembiakan
Teknik
Cekur
Rizom
Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas
Dukung anak
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang
Emas cotek
Keratan ranting
Keratan ranting muda yang mempunyai 2-3 mata tunas
Halia
Rizom
Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas
Hempedu bumi
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang
Kacip fatimah
Akar & batang
Keratan akar dan batang
Kesum
Batang
Keratan batang sepanjang 15-20 cm dan mempunyai 5-7 ruas
Kunyit
Rizom
Keratan rizom matang yang mempunyai 3-4 mata tunas
Limau purut
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag
Mengkudu
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag
Misai kucing
Keratan ranting
Penyemaian keratan yang mempunyai 3-4 pasang daun  ke dalam dulang menanam
Pandan
Sulur
Anak sulur berukuran 15-20 cm panjang
Pegaga
Batang
Batang matang yang mempunyai akar
Rosel
Rizom
Percambahan terus di dalam dulang menanam
Selasih
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang
Senna maki
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang
Serai makan
Anak pokok
Serpihan anak yang berakar
Serai wangi
Anak pokok
Serpihan anak yang berakar
Tea tree
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam dulang
Tongkat ali
Biji benih
Penyemaian dan penyediaan anak dalam polibag

1 comment:

Chris Yee said...

hi,
I nak beli benih tongkatali berapa harga u jual? Email lytonerink@gmail.com
waiting your reply soon.

Thanks