Sunday, January 02, 2011

Teknologi Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Bahagian 1 : Pendahuluan

Mengikut satu kajian yang telah dibuat, Malaysia telah dikenal pasti sebagai salah satu pusat kepelbagaian genetik terbesar di dunia terutama sekali bagi tumbuhan hutan tropika. Adalah dianggarkan sebanyak 7,000 spesies tumbuhan peringkat tinggi (angiosperma) terdapat dalam hutan tropika Malaysia dan sebanyak 1,082 spesies telah dilaporkan mempunyai nilai perubatan. Jumlah ini termasuk golongan herba, pokok renek, pokok, tumbuhan memanjat, epifit dan parasit. Sehingga kini hanya sebahagian kecil yang telah dikaji secara saintifik dari segi botani, fitokimia dan kandungan bahan aktif. Kajian bagi tujuan di peringkat komersial masih belum dibuat walaupun secara tradisi tumbuh-tumbuhan ini telah digunakan semenjak turun temurun.

Mengikut Burkhill dalam bukunya “The Malay Village Medicine “ yang diterbitkan dalam tahun 1930, lebih 1,000 spesies telah digunakan dalam perubatan Melayu. Dalam buku tersebut, beliau telah memberi secara ringkas tentang penggunaan spesies tersebut. Tumbuhan tersebut digunakan untuk pelbagai penyakit termasuk dalaman seperti penyakit yang berkaitan dengan sistem imuniti, sistem pernafasan, penghadaman, perkumuhan dan sistem pengedaran darah termasuk darah tinggi dan jantung. Sebahagian daripada tanaman-tanaman ini pula digunakan secara luaran seperti penyakit kulit, luka, gigitan serangga dan binatang berbisa. Ada juga yang digunakan untuk rawatan masalah tertentu seperti bagi mengatasi gangguan mental, menolak sihir, menghalau hantu syaitan dan penyegar semangat. Walau pun nama biasa dan juga nama saintifik turut diberi, kekeliruan masih wujud dalam pengecaman. Ini adalah disebabkan penggunaan nama biasa yang amat berbeza daripada satu tempat ke satu tempat. Bagi pengumpul yang tidak begitu mahir kekeliruan ini boleh memberi masalah kerana kesilapan penggunaan herba boleh memudaratkan kepada pengguna kerana sesetengah tumbuhan beracun.

Sehubungan dengan itu, keterangan yang lebih lengkap tentang morfologi tumbuhan ini (termasuk sifat daun, pertumbuhan serta bunga dan buah) adalah sangat penting. Pemaparan gambar, yang meliputi sifat-sifat di atas, akan memudahkan lagi pengecaman tumbuhan. Bagi tujuan penanaman secara komersial, maklumat berkenaan dengan habitat semula jadi tumbuhan tersebut, yang meliputi keperluan teduhan, kelembapan tanah serta kaedah pembiakan bahan tanaman, perlu difahami dengan lebih mendalam.

Beberapa aspek asas pengeluaran tanaman, termasuk sistem pengeluaran, kaedah penyediaan kawasan pengeluaran, pengeluaran bahan tanaman, amalan pembajaan, sistem pengairan dan amalan pengurusan musuh perosak yang bersesuaian juga diperlukan sebagai panduan. Selain daripada itu, panduan pengutipan hasil tumbuhan dan pengendalian lepas tuai serta kaedah penyimpanan juga tidak kurang pentingnya bagi memastikan khasiat tumbuhan berkenaan kekal sehingga bahan tersebut sedia untuk diproses bagi tujuan perubatan. Panduan ini merupakan panduan am sahaja dan maklumat lanjutan bagi setiap spesies yang ingin diusahakan diperlukan jika tumbuhan ini ingin diusahakan secara komersil.

Pada masa ini kurang 10% daripada bahan mentah tumbuhan ubatan yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional diperoleh dari ladang yang ditanam secara komersial. Selebihnya ialah daripada hutan atau diimport dari luar negara. Jika amalan ini tidak dikawal dengan sempurna, sumber genetik yang ada di negara ini akan pupus satu hari nanti. Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan harus diambil oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan pengurusan sumber genetik yang teratur. Ini termasuk aktiviti pemuliharaan seperti pembangunan hutan simpandan taman botani. Penyimpanan sumber genetik juga boleh dibuat bukan dalam keadaan semula jadi seperti penyimpanan secara ex-situ seperti taman-taman herba dan taman etnobotani.

No comments: