Saturday, August 01, 2009

Amalan Pengumpulan Tumbuhan Ubatan Yang Baik


Bahan tanaman dari habitat asli adalah satu sumber utama dalam pengeluaran produk berasaskan tumbuhan ubatan di Malaysia. Bagi memastikan ia menepati kualiti bahan mentah yang diperlukan, amalan pengumpulan yang baik hendaklah dipatuhi. Tujuan utama amalan pengumpulan herba yang baik ialah untuk memastikan pengumpulan dibuat secara berhemah agar ia mampan dan tidak menjejaskan kepelbagaian genetik yang terdapat dalam habitat semula jadi. Untuk itu, beberapa peraturan hendaklah diikuti dan ini termasuk kebenaran untuk mengumpul, perancangan teknikal, latihan yang bersesuaian dan seterusnya proses pengumpulan itu sendiri.
Semua spesies tanaman yang disenaraikan sebagai spesies terancam (CITES - Convention on International Trade in Endangered Species) tidak dibenarkan dikumpulkan kecuali dengan kebenaran daripada agensi yang berwajib. Staf di lapangan ini seharusnya diberi latihan yang mencukupi dalam bidang berkaitan dan berupaya membuat pengecaman tanaman berkaitan sama ada dari segi nama saintifik, nama tempatan dan sifat pertumbuhan spesies tanaman berkaitan. Sebelum ekspedisi pengumpulan dibuat, perancangan yang teliti berkaitan kawasan dan spesies tanaman yang ingin dikumpulkan hendaklah dibuat. Maklumat asas berkenaan taksonomi, kepelbagaian genetik, penyebaran dan habitat pertumbuhan (seperti tanah, topografi dan tumbuhan persekitaran) hendaklah dibuat untuk perancangan pengumpulan masa hadapan. spesimen botani (botanical specimens) bagi spesies tanaman yang dikumpulkan hendaklah disediakan dan dihantar kepada herbarium kebangsaan untuk tujuan pengesahan. Spesimen baucar (voucher specimens) yang disediakan hendaklah disimpan dengan baik. Pengumpulan hendaklah dijalankan berdasarkan kandungan bahan bioaktif tanaman berkenaan. Antara faktor yang boleh mempengaruhi kandungan bahan bioaktif ialah tahap kematangan dan keadaan cuaca.

Elak dari mengumpul dari kawasan habitat yang dikhuatiri tercemar dengan racun musuh perosak, logam berat dan lain-lain punca pencemaran seperti berhampiran dengan sistem perparitan/perkumuhan, tempat pelupusan sampah, lombong atau kawasan industri. Bahan yang dikumpulkan dan dimuat dalam bekas yang bersih, tidak tercemar dengan bahan luaran termasuk bahan tanaman dari pengutipan yang lepas atau berlainan spesies. Bahan tanaman hendaklah dielakkan bersentuhan dengan tanah.

Pemprosesan primer bagi tanaman yang dikumpulkan dan ini termasuk pengasingan bahan yang tidak diperlukan (bahan asing), membasuh, penggredan dan memotong kepada unit yang lebih kecil hendaklah dijalankan bergantung kepada kesesuaian tanaman berkaitan. Bahan ini juga hendaklah dilindungi daripada dari serangan serangga, burung dan binatang ternakan. Dalam keadaan tertentu, bahan yang dikumpulkan ini terlebih dahulu di kering di bawah sinaran matahari sebelum diangkut ke pusat pemprosesan. Jika tanaman yang dikumpulkan adalah berlainan spesies, pastikan ia diangkut dalam bekas berasingan bagi pencemaran antara satu sama lain (cross contaminations) tidak berlaku. Peralatan yang untuk pengumpulan seperti gergaji, secateurs dan peralatan lain yang digunakan hendaklah diselenggarakan dengan baik dan bersih pencemaran daripada minyak dan bahan lain.
Rujukan : Musa Yaacob dan Mansor Puteh
Agromedia MARDI (Bil. 29)

No comments: