Saturday, December 25, 2010

Amalan Pertanian Baik - Satu Kemestian Dalam Pengeluaran Tumbuhan Ubatan Yang Berkualiti


Pengenalan
Panduan amalan pertanian baik yang dihasilkan bagi memastikan pengeluaran bahan mentah serta pemprosesan primer tumbuhan ubatan di Malaysia memenuhi spesifikasi pengeluaran antarabangsa sama ada untuk makanan, perubatan, perasa dan industri wangi-wangian. Panduan ini juga dapat memastikan sistem pengeluaran dan pemprosesan primer adalah mesra alam sekitar dan seterusnya dapat mengekalkan atau meningkatkan lagi kepelbagaian sumber genetik tumbuhan ubatan.
Justeru itu, bahan mentah mesti dihasilkan secara bersih dan memastikan pencemaran mikrob adalah pada tahap minimum. Kawalan kualiti hendaklah dibuat di semua peringkat iaitu peringkat pengeluaran anak benih, penanaman di ladang, pengendalian lepas tuai, pemprosesan dan seterusnya penyimpanan. Aspek-aspek keselamatan kepada pekerja juga dijadikan elemen utama panduan ini. Semua ini penting bagi memastikan produk tumbuhan ubatan yang dihasilkan bukan sahaja selamat, tapi juga berkesan digunakan.

Keperluan utama dalam amalan pertanian
Keperluan asas amalan pertanian yang baik ialah proses penyediaan dokumen pengurusan tanaman dan ini termasuk dokumen untuk penyediaan bahan tanaman, kawasan dan musim pengeluaran serta sejarah penanaman kawasan pengeluaran berkenaan. Dokumen pengurusan tanaman ini penting kerana kawasan, musim pengeluaran dan amalan pengurusan tanaman (seperti pembajaan, jarak tanaman dan pengairan) dikenal pasti mempengaruhi kualiti bahan mentah (terutama sekali kandungan bahan aktif). Bahan tanaman dari kawasan dan pengeluaran yang berbeza adalah lebih baik diasingkan dan hanya boleh dicampurkan jika bahan yang dihasilkan adalah seragam. Rekod lain yang perlu dititikberatkan ialah dokumen panduan pengeluaran, dokumen perjanjian/kontrak antara pengeluar dan pembeli. Dokumen ini perlulah lengkap agar ia tidak menimbul masalah semasa pemasaran hasilan. Maklumat khusus yang boleh mempengaruhi kualiti (kandungan bahan bioaktif) bahan tanaman seperti serangan perosak dan penyakit, keadaan cuaca yang ekstrem (lembap atau kering) juga hendaklah direkodkan dengan sempurna. Rekod amalan pertanian yang lengkap ini dapat memastikan setiap produk yang dihasilkan dapat dikesan sumber tempat asal ia dikeluarkan di samping dapat mengenal pasti apakah punca sebenar masalah yang mungkin timbul.

Prinsip dan panduan dalam amalan pertanian yang baik
Prinsip utama dalam pengeluaran tanaman yang baik ialah penggunaan bahan input secara optimum, mengelakkan pembaziran serta tidak menjejaskan alam sekitar. Amalan tanaman yang baik meliputi beberapa aspek pengeluaran tanaman iaitu pengeluaran bahan tanaman (sama ada biji benih atau sumber dari bukan biji benih), proses penanaman, pengutipan dan pengendalian lepas tuai, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan. Aspek yang berkaitan termasuklah peralatan yang digunakan, kebajikan pekerja, pendokumenan, latihan dan pengesahan (pensijilan).

Biji benih dan bahan tanaman
Biji benih atau bahan tanaman yang ingin digunakan hendaklah dikenal pasti dari segi botani dan ini termasuk varieti, kultivar, chemotype dan asal usul. Bahan tanaman juga seharusnya disahkan dari segi ketulenan dan bebas daripada jangkitan penyakit dan perosak. Sebaiknya bahan tanaman yang digunakan rintang kepada penyakit dan perosak.

Penanaman
Bergantung pada sistem pengeluaran yang diamalkan, semua amalan penanaman hendaklah mengikut kaedah operasi ladang yang telah ditetapkan. Secara umum semua penanaman hendaklah tidak menjejaskan alam sekitar dan ini termasuk sistem tanaman giliran yang sistematik. Beberapa aspek yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan tanah, amalan pembajaan, sistem pengairan dan pengurusan perosak.

Pengurusan tanah dan pembajaan - Penanaman tumbuhan ubatan hendaklah dijalankan di kawasan yang tidak tercemar terutama sekali dengan logam berat, sisa kilang atau bahan kumuhan. Penggunaan baja organik hendaklah terdiri yang telah reput sepenuhnya dan jangan guna buangan manusia.

Pengurusan air - Air juga seharusnya diuruskan secara optimum dan diberi mengikut keperluan tanaman bagi mengelakkan larut lesap nutrien di samping mengelakkan pembaziran sumber. Sumber air juga hendaklah bebas dari tercemar dari bahan seperti logam berat, najis, racun perosak dan bahan toksik lain.

Kerja tanah - Urusan kerja tanah seperti kerja-kerja menepur dan membajak juga dijalankan mengikut keperluan tanaman agar amalan ini tidak memberi kesan mampatan serta hakisan kepada tanah.
Pengurusan perosak - Penggunaan racun rumpai dan perosak hendaklah dielakkan di mana boleh. Amalan biologi yang berkonsepkan pengurusan perosak secara bersepadu hendaklah diamalkan.

Penuaian dan pengendalian lepas tuai hasil
Penuaian hasil tanaman hendaklah dijalankan pada tahap kualiti yang maksimum bergantung kepada kegunaan bahan mentah berkenaan. Pada umumnya pengutipan dijalankan pada tahap kandungan bahan bioaktif yang maksimum. Masa pengutipan hasil hendaklah dijalankan pada masa yang terbaik. Elakkan pencemaran daripada bahan tanaman lain (rumpai), bahan organik lain seperti najis serangga dan pasir atau tanah semasa pengendalian bahan tanaman berkenaan.

Pemprosesan primer dan penyimpanan
Pemprosesan primer merangkumi proses pembersihan (membasuh), penyulingan dan pengeringan. Bahan tuaian hendaklah diproses secepat mungkin dengan memuat turun bahan berkenaan sebaik sahaja sampai di premis pemprosesan. Bangunan yang digunakan untuk pemprosesan hendaklah bersih, mempunyai pengudaraan yang baik dan bebas daripada musuh perosak. Dalam proses pengeringan, suhu pengeringan serta masa pengeringan hendaklah dipilih berdasarkan bahagian tanaman (daun, batang, akar dan lain-lain), spesies tanaman yang ingin dikeringkan dan produk separa proses yang ingin dihasilkan. Masa dan suhu pengeringan juga bergantung pada kemudahan atau sistem pengeringan yang digunakan.
Bahan kering yang telah diproses, digredkan dan hendaklah disimpan dalam bekas yang bersih dan bersesuaian dengan bahan yang dihasilkan. Semua bekas hendaklah dilabel dengan label kekal yang diperbuat daripada bahan yang tidak toksik. Antara maklumat yang perlu ada ialah spesies tanaman, kawasan dan musim pengeluaran dan tarikh pengeringan dijalankan. Penyimpanan hendaklah dilakukan di tempat yang bersih, sejuk, mempunyai pengudaraan yang baik dan bebas dari perosak dan binatang peliharaan.

Kemahiran dan latihan staf
Staf yang berpengalaman dan terlatih adalah penting bagi memastikan semua tugasan yang telah diberi dapat dijalankan dengan sempurna. Semua staf mesti mempunyai keterampilan yang bersesuaian dengan tugas yang dijalankan. Selain daripada itu, semua staf yang ditugas untuk mengendalikan bahan tanaman di ladang dan tempat pemprosesan hendak mempunyai sifat kebersihan diri yang tinggi. Bagi aktiviti penanaman, semua staf terlatih dalam aspek penggunaan bahan pengawal perosak dan seterusnya kemahiran pengendalian peralatan seperti jentera pertanian sama ada di ladang atau di premis pemprosesan primer.

Pengesahan Kualiti
Audit kualiti bahan tanaman hendaklah dibuat secara berkala bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawai dan spesifikasi kualiti yang telah ditetapkan oleh pengilang. Tumpuan utama ialah kandungan bahan aktif, sifat sentuhan dan optik, tahap kehadiran patogen, logam berat dan racun perosak. Spesifikasi ini hendaklah mematuhi tahap kualiti kebangsaan dan juga antara bangsa.

Kesimpulan
Amalan pertanian yang baik bagi tumbuhan ubatan adalah penting bagi memastikan bahan mentah yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi dan memenuhi piawai yang telah ditetapkan oleh pengilang sama ada untuk kegunaan tempatan atau eksport ke luar negara. Ini seterusnya a akan memastikan produk herba yang dihasilkan adalah selamat dan mujarab seperti yang diharapkan. Audit kualiti bahan yang dihasilkan pula dapat dijalankan dengan sempurna dengan adanya rekod pengeluaran yang lengkap. Sistem pengauditan ini akan memastikan kualiti bahan sentiasa terkawal dan mudah untuk membuat pembaikan jika ada apa-apa masalah dalam pengeluaran tanaman.
Sumber
Musa Yaacob dan Mansor Puteh
Agromedia MARDI (Bil. 29)

No comments: